Abuja: Presiden Konfederasi Bolasepak Afrika (CAF), Patrice Motsepe sekali lagi menyatakan sokongan kepada Gianni Infantino untuk dipilih semula sebagai Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Baca juga: Peletakan jawatan Ketua Jabatan: Perkhidmatan kardiotorasik tidak terjejas – Pengarah HSA
Sokongan dinyatakan Motsepe itu dibuat selepas Infantino mengesahkan peningkatan besar bayaran geran kepada setiap persatuan anggota.
Ketika berucap pada Perhimpunan Agung Biasa organisasi itu di Abuja, Nigeria, Motsepe berkata CAF menyokong Infantino untuk satu lagi penggal selepas beliau dicabar oleh Presiden Persekutuan Bolasepak Perancis, Philippe Diallo dan Presiden Kehormat Persatuan Bolasepak Jepun, Kozo Tashima.
“Saya sudah menyaksikan dalam tempoh lima tahun terakhir (sebagai Presiden CAF) komitmen mendalam beliau. Gianni, anda mendapat sokongan kami daripada 54 persatuan anggota CAF,” kata Motsepe.
Infantino berkata beliau akan terus meletakkan pembangunan bola sepak di Afrika sebagai antara keutamaan agenda beliau sepanjang memegang jawatan Presiden FIFA.
“Anda akan sentiasa mendapati saya dan FIFA sebagai rakan yang boleh dipercayai, seorang saudara yang boleh dipercayai, untuk memastikan impian yang kita semua ada, impian kanak-kanak ini di Abuja, Cape Town, Kaherah dan di seluruh Afrika, dapat menjadi kenyataan,” katanya.
Infantino mengulangi rancangan untuk meningkatkan lebih tiga kali ganda geran yang diberikan kepada persatuan anggota FIFA di seluruh dunia, daripada jumlah semasa AS$8 juta (RM33 juta) bagi tempoh empat tahun kepada AS$25 juta (RM103 juta).
Ia akan berkuat kuasa mulai Januari 2027, tiga bulan sebelum pemilihan Presiden FIFA di Maghribi.
Rancangan untuk meningkatkan geran menerusi program baharu FIFA Forward 4.0 dibincangkan pada Oktober dan dijangka disahkan pada mesyuarat Majlis FIFA bulan depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd