syafil.syazwan@hmetro.com.my
Baca juga: Marissa Dania Beli Kereta Mewah, Norman Pesan Jangan Abaikan Zakat
SIRI 1
MEMBANDINGKAN keakraban hubungan antara anak seni dan peminat pada zaman kegemilangan era 1990-an dengan landskap digital masa kini nyata mengundang seribu satu kenangan manis yang masih tersemat kemas di sanubari pelakon legenda, Datin Sofia Jane.
Pada era sebelum wujudnya telefon pintar mahupun limpahan platform media sosial, tanda sokongan dan kasih sayang peminat dizahirkan menerusi usaha fizikal yang cukup luar biasa serta penuh keikhlasan.
Menurut Sofia, 54, setiap kali menjelang musim perayaan atau sejurus tamat tayangan sesebuah filem lakonannya, pejabat syarikat produksi pasti akan dibanjiri kiriman surat serta kad ucapan Aidilfitri yang dihantar sehingga berguni-guni.
“Peminat zaman dahulu sanggup bersusah payah membeli buku skrap, menggunting gambar-gambar saya daripada majalah, melekatkannya dengan kemas dan menulis esei pendek di bawah setiap gambar itu.
“Selepas itu, mereka perlu ke pejabat pos untuk menghantarnya. Usaha keras seperti itu sangat menyentuh hati saya,” katanya.
Sebagai tanda penghargaan atas kesungguhan peminat, pelakon filem Perempuan, Isteri & … itu sanggup meluangkan masa menandatangani poskad atau kad raya serta menitipkan mesej ringkas untuk dibalas satu persatu.
Baginya, memori indah daripada zaman yang sarat dengan nilai sentimental itu tidak akan pernah luput daripada lipatan ingatannya sampai bila-bila.
Namun, berbeza dengan landskap hiburan moden hari ini apabila cara interaksi selebriti dan peminat sudah jauh berubah menerusi kewujudan kumpulan sembang di aplikasi WhatsApp mahupun Telegram.
Pendekatan Sofia yang memilih untuk tidak terjebak dengan trend berkenaan bagaimanapun menyebabkan segelintir pihak melabelkannya sebagai artis yang terlalu menjaga nilai eksklusiviti.
Menolak dakwaan tersebut, pelakon filem Malam Terlarang ini mengakui kurang gemar dengan label berkenaan, sebaliknya menegaskan pendiriannya berpaksikan faktor usia, kesibukan jadual kerja serta kesedaran tinggi terhadap ancaman keselamatan siber.
“Saya tak mempunyai masa untuk bersembang di dalam kumpulan sembang bersama ratusan individu yang tidak saya kenali.
“Lagipun, kita kini hidup di dalam dunia siber yang penuh dengan risiko penipuan (scammers) serta budaya tangkap layar (screenshot) yang boleh disalahgunakan.
“Bayangkan betapa bahayanya apabila kita berkongsi maklumat peribadi dengan orang asing. Macam-macam boleh berlaku,” jelasnya.
Tambah Sofia, sebagai figura awam yang memiliki pengaruh dan platform tersendiri, golongan artis memikul tanggungjawab sosial untuk mendidik masyarakat agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya di alam maya.
Justeru, dia memilih untuk mengendalikan akaun media sosialnya secara berpada-pada, iaitu sekadar berkongsi informasi bermanfaat berkaitan seni kraf tempatan, aktiviti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta kesedaran mengenai perlindungan hidupan liar yang semakin diancam kepupusan.
Bagi Sofia, tumpuan utamanya kini hanyalah terarah kepada keluarga, insan terdekat serta komitmen terhadap naskhah seni berkualiti termasuk pementasan teater solo pertamanya berjudul Thrown.
Pementasan teater itu dijadual berlangsung di The Studio, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) bermula semalam (21 November) hingga 29 November ini.
Esok: Datin Sofia Jane tegur isu bayaran pelakon veteran serta kualiti skrip tempatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd