LATEST

Bomba hantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di pedalaman Kapit

Bomba hantar bekalan makanan kepada mangsa banjir di pedalaman Kapit

mdroji@bh.com.my

Kuching: Seramai 159 penghuni sebuah rumah panjang di pedalaman Kapit yang terjejas banjir, menerima bantuan bekalan makanan daripada anggota bomba selepas keseluruhan tingkat bawah kediaman mereka ditenggelami air lebih dua meter, hari ini.

Baca juga: Wanita dikhuatiri lemas dihanyutkan kepala air di Air Terjun Puncak Jelapang

Rumah panjang John Kara di Kerangan itu yang mempunyai 27 pintu dinaiki air sehingga menyebabkan penghuni terpaksa berlindung di tingkat atas bagi mengelakkan risiko keselamatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian banjir itu pada jam 1.30 tengah hari tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit diarah ke lokasi bagi menjalankan pemantauan banjir serta menghantar bekalan makanan kepada penduduk terjejas.

“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang terdiri daripada empat anggota tiba di lokasi pada jam 2.40 petang selepas menempuh perjalanan sejauh 68 kilometer.

“Setibanya di lokasi, komander operasi menjalankan penilaian awal sebelum mengesahkan kejadian banjir membabitkan keseluruhan tingkat bawah rumah panjang berkenaan,” katanya.

Hasil pemeriksaan mendapati paras air di tingkat bawah rumah panjang itu mencecah lebih dua meter, sekali gus menyebabkan kawasan kediaman berkenaan tidak dapat digunakan.

Bagaimanapun katanya, tiada operasi pemindahan atau penyelamatan dilakukan kerana semua penghuni sudah berlindung di tingkat atas bangunan.

Anggota bomba bersama agensi lain yang terbabit kemudian menjalankan pemantauan keadaan semasa selain menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada penghuni yang terjejas.

Selepas memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, pasukan operasi menamatkan tugas sebelum bertolak pulang ke balai pada jam 3.07 petang.

Operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan penduduk terjejas terus dipantau selain membantu memenuhi keperluan makanan mereka ketika berdepan situasi banjir di kawasan pedalaman itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news