KUALA LUMPUR: Rezeki meraih trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-35 menerusi lakonan dalam filem Badak dikongsi pelakon Shaheizy Sam dengan menghadiahkan 100 piza percuma kepada pelanggan Kafe Abduls.
Baca juga: Belasah Kanada, Carolan belum puas hati aksi Speedy Tigers
Sam berkata, tawaran istimewa itu diberi kepada 100 pelanggan terawal yang berkunjung ke kafe berkenaan, esok.
“Saya nak hadiahkan balik kepada orang di luar sana. Siapa yang datang ke Kafe Abduls esok pagi, 100 piza pertama percuma. 100 piza pertama percuma! Terima kasih,” katanya ketika menyampaikan ucapan kemenangan di pentas FFM Ke-35.
Sam menyifatkan kemenangan itu cukup bermakna, apatah lagi selepas melalui perjalanan panjang dalam industri seni.
“Alhamdulillah. Lima tahun berturut-turut saya genggam ucapan kemenangan. Tahun lepas tak menang, saya buang. Sekarang ini pun tak tahu nak cakap apa dah.
“Pertama sekali, Alhamdulillah atas rezeki ini. Terima kasih kepada Mommy Khaty yang tidak pernah berhenti mendoakan adik,” katanya.
Dalam ucapan sama, Sam turut merakamkan penghargaan kepada isterinya, Syatilla Melvin, ahli keluarga serta seluruh pasukan produksi yang menjayakan filem Badak.
Kemenangan itu menyaksikan Sam menewaskan empat lagi finalis iaitu Idan Aeden (Abah Saya Uncle Mike), Eman Manan (3 Hajat), Beto Kusyairy (Gayong 2) dan Amerul Affendi (Libang Libu).
Menerusi Badak, Sam membawakan watak Badak, seorang bapa yang mengalami masalah pendengaran dalam filem yang mengangkat kehidupan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) pendengaran.
“Terima kasih kepada semua pihak kerana memberi kepercayaan dan menganugerahkan saya trofi ini.
“Badak adalah karya yang sangat bermakna serta menjadi peringatan kepada semua dan semoga saya dapat terus memanusiakan manusia dalam industri ini,” katanya.
Filem Badak turut menyaksikan Aida Amron membawa pulang trofi Pelakon Wanita Terbaik.
Aida menewaskan empat finalis lain iaitu Azira Shafinaz (Malam Terlarang), Fish Liew (Pavane For An Infant), Nad Zainal (Denu) dan Mimi Lana (Polong).
© New Straits Times Press (M) Bhd