bhrencana@bh.com.my
Baca juga: Bayern umum pendapatan RM4.4 bilion
Kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) menjadi isyarat Pakatan Harapan (PH) sedang berhadapan masalah jauh lebih besar daripada kelemahan jentera atau kegagalan calon.
Dalam PRN Melaka, PH hanya memperoleh empat kerusi, semuanya melalui DAP, sedangkan PKR dan AMANAH gagal memenangi sebarang kerusi.
Keputusan ini memperlihatkan persoalan keupayaan PH mempertahankan sokongan tradisional, menembusi pengundi Melayu dan mengekalkan keyakinan pengundi atas pagar.
Kerjasama BN-PN menunjukkan kemampuan dua blok politik yang sebelum ini bersaing, menggabungkan kekuatan akar umbi, sentimen identiti dan jaringan sokongan masing-masing.
Dalam PRN Melaka, sebahagian besar kawasan dimenangi BN-PN mempunyai majoriti lebih besar berbanding kerusi dimenangi PH.
Bagi kerusi dimenangi BN-PN, sebahagian besarnya mempunyai majoriti lebih 4,500 undi ke atas, sekali gus menunjukkan perpindahan undi di kawasan majoriti Melayu berlaku dengan efektif.
Penyatuan ini menjadikan PH berhadapan cabaran lebih besar, khususnya di kawasan majoriti Melayu. Jika senario sama berlaku di negeri lain, sukar untuk PH mengekalkan kuasa sedia.
Dalam PRN Negeri Sembilan, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun tewas di Linggi, manakala bekas Ketua Menteri, Adly Zahari pula tewas di Bukit Katil dalam PRN Melaka.
Ini sepatutnya mengejutkan pimpinan PH untuk mencari formula berhadapan sentimen Melayu-Islam dan anti-DAP.
Cabarannya, bagaimana PH ingin membina politik progresif tetapi dekat dengan keresahan dan citra masyarakat Melayu, tanpa mengorbankan prinsip keterangkuman?
Satu lagi perkara perlu dibincangkan secara jujur ialah ketidakseimbangan kekuatan parti dalam PH.
DAP masih menjadi penyumbang kerusi terbesar kepada gabungan, iaitu enam kerusi di Johor; Negeri Sembilan (sembilan) dan Melaka (empat).
Walaupun berhadapan pengurangan sokongan undi di sesetengah kawasan, keupayaannya mengekalkan kemenangan menunjukkan parti itu masih mempunyai asas sokongan dan jentera yang berfungsi.
Prestasi AMANAH dan PKR sebaliknya menimbulkan persoalan lebih besar kerana menunjukkan masalah daya tarikan elektoral tidak boleh disembunyikan di sebalik kekuatan DAP.
Dalam persepsi sebahagian pengundi, AMANAH dan PKR mungkin menjadi liabiliti kepada PH apabila gagal berfungsi sebagai jambatan berkesan untuk menarik sokongan Melayu.
Ironinya, parti yang sering dijadikan sasaran serangan politik oleh lawan PH masih menjadi penyumbang kerusi paling konsisten.
PH perlu bertanya jika DAP terus menjadi penyumbang utama kerusi, apakah sumbangan elektoral boleh ditawarkan PKR dan AMANAH untuk memperluas sokongan gabungan, khususnya dalam kalangan pengundi Melayu?
Naratif jelas reformasi, tolak rasuah
Sebelum 2018, PH mempunyai naratif jelas berkaitan reformasi, tolak rasuah dan mengangkat nilai demokrasi. Namun selepas menjadi kerajaan, identiti itu banyak dipersoal.
Kerjasama dengan BN di peringkat Persekutuan menimbulkan persoalan perbezaan antara identiti politik PH dengan rakan gabungannya.
Sebahagian pengundi tradisi PH mungkin akan merenung dan memikirkan semula sejauh mana gabungan itu mengemudi isu reformasi ketika mentadbir pada hari ini.
Di peringkat negeri, mereka berlawan sesama sendiri tetapi esoknya berada di dalam satu mesyuarat untuk menjalankan pentadbiran kerajaan perpaduan.
PH juga tidak boleh terus menganggap isu rasuah dan reformasi secara automatik menjadi modal politik mencukupi.
Pengundi mahu melihat kesannya terhadap kehidupan mereka seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendapatan, perumahan dan mutu perkhidmatan awam.
Kajian Lee Hwok-Aun dari ISEAS-Yusof Ishak Institute pada Ogos 2026 mengingatkan kerjasama Melayu BN-PN sedang membentuk formula pilihan raya yang mencabar PH, sementara kekecewaan terhadap kelambatan reformasi dan prestasi kerajaan semakin menghakis sebahagian sokongan tradisionalnya.
PH perlu berhenti melihat kekalahan di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka sebagai episod berasingan. Ketiga-tiganya memperlihatkan pola wajar diberikan perhatian serius pengukuhan kerjasama BN-PN, perubahan sentimen pengundi Melayu, ketidakseimbangan kekuatan parti komponen dan semakin kaburnya identiti politik PH.
Justeru, PH perlu melakukan penilaian semula secara menyeluruh, iaitu memperbaharui jenama politik, mempercepat reformasi boleh dirasai rakyat, memperkukuh jentera akar umbi dan membina naratif mampu bersaing dengan kebangkitan politik kanan.
Akhirnya, PH perlu menerima hakikat rakyat sudah membuat pilihan dan memberikan isyarat melalui peti undi. Pengundi tidak mempunyai kewajipan untuk terus memberikan sokongan hanya kerana mereka pernah menjadi sebahagian gelombang perubahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
DAP tidak boleh selama-lamanya menjadi penyelamat kerusi PH, sementara PKR dan AMANAH gagal menyelesaikan masalah daya tarikan politik mereka sendiri.
Sentimen dirasai pengundi Melayu terhadap DAP masih ada, justeru PH perlukan formula baharu.
© New Straits Times Press (M) Bhd