KUALA LUMPUR: Semua ahli MCA diingatkan agar tidak terlalu selesa dan lupa diri dengan kemenangan diraih dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini.
Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, kemenangan tidak seharusnya menyebabkan jentera parti lupa diri, angkuh dan sombong sehingga menjauhkan diri daripada rakyat.
Baca juga: Bulgari, tokong barang kemas mewah meninggal dunia
Katanya, parti perlu terus memperbaiki kelemahan dan meningkatkan usaha untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Jangan kerana kemenangan ini membuatkan kita lupa diri, angkuh dan sombong serta menjauhkan kita daripada rakyat. Jangan sesekali menjadi seperti ‘kacang lupakan kulit’.
“Ingatlah sentiasa bahawa berdirinya kita pada hari ini adalah kerana sokongan ahli akar umbi dan rakyat,” katanya dalam ucapan dasar Majlis Perhimpunan Agung Keempat Perwakilan MCA Ke-30 di Wisma MCA, Jalan Ampang di sini hari ini.
Ka Siong turut mengimbau kekalahan Barisan Nasional (BN) pada 2018 apabila diserang parti lawan daripada pelbagai sudut, selain didesak oleh ahli-ahli untuk meninggalkan BN.
Katanya, ketika itu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN memikul amanah yang cukup berat bagi meneruskan perjuangan sebagai parti pembangkang.
“Masih segar dalam ingatan bagaimana teruk kita dihina dan diserang parti lawan dari pelbagai sudut. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga.
“Namun, itu bukan pengakhiran cerita kita. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Walau dibadai ombak yang cukup dahsyat, MCA tetap setia bersama BN. Susah senang kita bersama. Kita ibarat air yang dicincang tidak akan putus,” katanya. – UTUSAN
The post Menang PRN, MCA jangan lupa diri appeared first on Utusan Malaysia.