LATEST

PSM nafi Syahir, Zarif ke Liga Thailand

PSM nafi Syahir, Zarif ke Liga Thailand

KUALA LUMPUR: Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) menafikan dakwaan dua tekong negara, Syahir Rosdi dan Zarif Marican, bakal menyertai saingan Liga Takraw Thailand (TTL) susulan pengumuman mengenai penyertaan mereka yang tular di media sosial baru-baru ini.

Presiden PSM, Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perkara itu telah disahkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) menerusi makluman daripada presiden kelab masing-masing yang menjelaskan kedua-dua pemain berkenaan tidak akan beraksi dalam liga itu.

Baca juga: UNIFIL mula serah pos kawalan di selatan Lubnan kepada tentera

Menurutnya, PSM tidak pernah menghalang pemain daripada beraksi di liga luar negara sekiranya mereka tidak terikat dengan perancangan skuad kebangsaan, namun Syahir dan Zarif dikatakan memilih untuk tidak menyertai TTL.

“Saya tidak tahu siapa yang membuat pengumuman di media sosial kelab tersebut, tetapi rasanya bukan daripada pemain itu sendiri. Mereka juga tidak pernah bertanya kepada saya.

“Cuma Ahmad Jais (Ketua Jurulatih) ada merujuk dan saya memberikan pandangan sama supaya perkara itu diputuskan oleh kelab, memandangkan mereka terikat dengan saingan Liga Sepak Takraw (STL),” katanya.

Sumali menjelaskan, PSM pada dasarnya tidak mempunyai halangan sekiranya pemain mahu menyertai TTL, lebih-lebih lagi Program Podium musim ini sudah menghampiri penghujung, manakala liga Thailand itu masih berada di peringkat kelayakan.

Bagaimanapun, katanya, penyertaan pemain perlu mendapat persetujuan Majlis Sukan Negara (MSN) dan kelab masing-masing turut perlu bersedia menanggung risiko sekiranya berlaku kecederaan.

Beliau menegaskan, pemain yang disenaraikan dalam Program Podium 2027 tidak akan dibenarkan menyertai TTL sekiranya menerima tawaran pada tahun depan kerana terikat dengan perancangan skuad kebangsaan.

“Untuk tahun depan memang tidak boleh kerana mereka terikat dengan projek Podium 2027, jadual latihan, aksi ujian serta perancangan kita ke Piala Dunia di Jakarta dan Piala Raja Thai. Jika berlaku kecederaan, pihak kita yang terpaksa menanggungnya,” ujarnya. – UTUSAN

The post PSM nafi Syahir, Zarif ke Liga Thailand appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news