KUALA TERENGGANU – UMNO Terengganu tidak terkilan mahupun terasa hati dengan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang memberi bayangan bahawa hanya lima daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu terbuka untuk dirundingkan bersama Barisan Nasional (BN).Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, pihaknya menghormati pendirian dan hak pemimpin Pas itu untuk mengemukakan pandangan berdasarkan perbandingan formula kerjasama di Melaka.Menurut beliau, setakat ini belum ada sebarang perbincangan rasmi diadakan antara UMNO Terengganu dengan Pas berhubung pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).”Kalau tanya saya, itu hak dia (Ahmad Samsuri) untuk komen. Kita hormati hak dia. Dia tiada masalah nak umum 27 kerusi atau nak beri lima kerusi sebab itu hak dia, berdasarkan perbandingan di Melaka yang menyaksikan mereka bertanding kesemua 21 kerusi (yang dimenangi sebelum ini).”Setakat ini, UMNO Terengganu belum ada sebarang rundingan lagi. Kita tidak boleh komen atau menyatakan berapa jumlah kerusi yang kita mahu. UMNO pun boleh umum, tetapi kita tidak boleh beritahu berapa yang kita nak bertanding buat masa ini.”Kita hormati keputusan Dr Sam (Ahmad Samsuri) dan kita tidak terasa apa-apa pun dengan kenyataan pemimpin tersebut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Ahad.Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ahmad Samsuri sebelum ini yang memaklumkan Pas terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan BN berhubung kedudukan lima kerusi DUN Terengganu yang kini bukan disandang oleh wakil parti itu, selaras dengan pendekatan mengekalkan status quo seperti di Melaka demi keadilan semua pihak.Mengulas lanjut, Nik Dir mengakui UMNO Terengganu sedar akan kedudukan parti itu yang tewas di kesemua 32 kerusi DUN pada pilihan raya lalu, namun menegaskan bahawa jentera parti di semua peringkat tetap digerakkan seperti biasa.”Saya baca ramai yang memberi komen, namun hakikatnya tiada sebarang kenyataan rasmi daripada UMNO Terengganu lagi. Prinsip kita, kita berkawan dengan semua, namun prinsip parti tetap menggerakkan jentera di kesemua 32 DUN.”Jentera kita bergerak di semua peringkat dan tidak akan terhenti hanya disebabkan khabar angin mengenai gabungan, sama seperti Pas yang turut menggerakkan jentera mereka di semua DUN. Apabila ada keputusan muktamad dan persefahaman yang betul kelak, barulah masing-masing akan bertindak,” jelasnya.Dalam pada itu, beliau berpandangan bahawa usaha ke arah penyatuan mempunyai kebaikan tersendiri jika dilihat daripada aspek ekonomi negara, kestabilan politik serta kehendak rakyat yang pelbagai.Bagaimanapun, beliau mengakui wujud pandangan berbeza dalam kalangan ahli kedua-dua parti, termasuk suara yang mahu bergerak secara solo ataupun bergabung.”Pandangan peribadi saya, gabungan ada kebaikan dan bergerak solo juga ada kebaikan, tetapi semuanya bergantung kepada kehendak pengundi. Perkara ini perlu dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira pandangan di peringkat negeri serta ketetapan kepimpinan tertinggi parti sebelum sebarang keputusan dibuat.”Apa pun yang berlaku, UMNO Terengganu sentiasa bersiap sedia dalam apa jua keadaan. Kalau pilihan raya diadakan esok sekalipun, jentera kita sudah bersedia,” tegasnya.
UMNO Terengganu tak terkilan jika Pas hanya mahu beri lima kerusi – Nik Dir
Malay News | https://www.malay.news/umno-terengganu-tak-terkilan-jika-pas-hanya-mahu-beri-lima-kerusi-nik-dir/