MIAMI: Lionel Messi mencetus kontroversi selepas melontarkan bola ke arah muka pemain lawan ketika Inter Miami tewas 0-3 kepada Columbus Crew pada aksi playoff Piala MLS, hari ini.
Baca juga: Bahrain tuntut PBB ambil tindakan, Iran bayar pampasan susulan serangan
Jurulatih Columbus, Laurent Courtois menyifatkan bintang Argentina itu sepatutnya dilayangkan kad merah selepas insiden membaling bola ke muka penyerang Gonzalo Tapia ketika Miami ketinggalan 0-1 pada penghujung babak pertama.
Messi yang kelihatan berang dalam insiden itu dan Tapia masing-masing dilayangkan kad kuning oleh pengadil, Allen Chapman, namun Courtois berpendapat hukuman berkenaan tidak mencukupi.
“Semua orang tahu dia sepatutnya menerima lebih daripada kad kuning. Ia benar-benar menyedihkan,” kata Courtois selepas perlawanan.
Bagaimanapun, Chapman mempertahankan keputusannya untuk hanya melayangkan kad kuning kepada Messi dengan menjelaskan kekuatan balingan itu tidak ketara dan insiden berkenaan tidak mencapai tahap perlakuan ganas.
“Kuasa yang digunakan adalah tidak ketara dan kesalahan itu tidak mencapai tahap perlakuan ganas,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.
Miami sudah pun bermain dengan 10 pemain ketika insiden itu berlaku dan ketinggalan selepas Tapia yang juga pemain antarabangsa Chile, menyempurnakan sepakan penalti pada awal permainan.
Juara bertahan MLS itu kemudian terus dihukum apabila Tapia meledak gol kedua selepas Taha Habroune menjaringkan gol sejurus selepas babak kedua bermula, sekali gus melengkapkan kemenangan 3-0 Columbus di Nu Stadium.
Kemenangan itu membolehkan Columbus, yang muncul juara pada 2023 dan berada di posisi ketujuh, berpeluang menyingkirkan Messi serta Miami daripada saingan playoff jika menang perlawanan kedua siri best-of-three di Ohio, Jumaat depan.
Jurulatih Miami, Kily Gonzalez mengakui pasukannya gagal mempamerkan aksi yang diharapkan, malah banyak kesilapan mereka sendiri membuka ruang kepada lawan untuk menghasilkan peluang.
“Ini perlawanan yang semuanya tidak menjadi buat kami dan secara efektif, kami sendiri mencipta peluang untuk mereka.
“Kami tidak menghasilkan persembahan hebat yang diharapkan. Semuanya tidak menjadi, tetapi kami perlu belajar daripada pengalaman ini kerana jika gagal menang pada perlawanan seterusnya, kami tersingkir,” katanya.
Gonzalez bagaimanapun percaya cabaran itu mampu menjadi ujian karakter buat pasukannya yang perlu bangkit untuk mengelakkan penyingkiran.
“Tiada cabaran yang lebih baik buat kami sebagai satu pasukan daripada ini. Ia ujian karakter dan saya tahu pasukan saya memiliki karakter itu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd