am@hmetro.com.my
Baca juga: Mangsa banjir di Selangor meningkat, Perak terus menurun
Shah Alam: Aksi lagak ngeri seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang seronok mempamerkan kemahiran mengangkat tayar hadapan motosikal (wheelie) membawa padah apabila dicekup dalam operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pandamaran, Klang, awal pagi tadi.
Pelajar Tingkatan Empat yang tidak memiliki lesen memandu sah itu antara penunggang muda yang ditahan menerusi Op Samseng Jalanan JPJ Selangor bagi membanteras kegiatan menunggang secara melulu dan lumba haram.
Remaja terbabit mendakwa dia baru sahaja belajar melakukan aksi wheelie selepas melihat rakan-rakannya membuat lagak berbahaya itu.
“Kami menunggang berlima. Saya baru belajar buat wheelie lepas tengok kawan-kawan buat.
“Selalunya memang kalau bawa motor ini, saya akan buat wheelie,” katanya perlahan ketika disoal siasat anggota penguat kuasa.
Keseronokan remaja itu bagaimanapun terhenti apabila motosikal jenis Yamaha LC135 V8 milik kakaknya disita, selain turut dikenakan saman atas pelbagai kesalahan teknikal.
Dalam kes berasingan, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun tanpa lesen memandu turut ditahan anggota penguat kuasa selepas dikesan menunggang motosikal di Dataran Shah Alam.
Remaja itu mengakui sedar perbuatan menunggang tanpa lesen adalah satu kesalahan, namun mendakwa sekadar mahu mencuba menunggang motosikal berkenaan selepas tiba di lokasi terbabit bersama sepupunya.
“Saya tahu salah. Saya cuma nak cuba bawa motor masa sampai sini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi bermula jam 6 petang semalam hingga 4 pagi tadi itu dijalankan di sekitar Klang dan Shah Alam bagi membendung kegiatan lumba haram, menunggang secara berbahaya serta menguji kelajuan di jalan awam.
Menurutnya, sebanyak 230 motosikal diperiksa dalam operasi mengikut Seksyen 42A Akta Pengangkutan Jalan 1987 itu, sekali gus membawa kepada sitaan 67 motosikal serta pengesanan 398 kesalahan.
“Antara kesalahan dikesan membabitkan 102 kesalahan teknikal, tiada lesen memandu sah (48), penunggang bawah umur (18), ubah suai ekzos (19), tiada brek belakang (18) dan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi (32),” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan sebanyak 541 notis sepanjang operasi berkenaan merangkumi notis saman (P22) sebanyak 398, notis arah periksa (38), notis larangan penggunaan kenderaan (38) dan notis sita (67).
Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengguna jalan raya yang sengaja menggadaikan nyawa sendiri serta mengancam keselamatan orang awam melalui tindakan melulu.
© New Straits Times Press (M) Bhd