LATEST

Kabinet bincang isu seludup dadah minggu depan

Kabinet bincang isu seludup dadah minggu depan

PETALING JAYA: Jemaah Menteri dijangka membincangkan isu penyeludupan dadah melibatkan pegawai dan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) minggu depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat membincangkan kemungkinan kawalan keselamatan pintu keluar masuk negara diperluas ke kawasan pangkalan udara pasukan keselamatan.

Baca juga: Norman Hakim Bangga Marissa Beli BMW Hasil Bisnes Sendiri

Katanya, ini kerana terdapat banyak pangkalan udara di seluruh negara di bawah kawalan pihak tentera, selain polis melalui Pasukan Gerakan Udara (PGU) yang terdedah kepada risiko penyeludupan.

“Ketika kejadian ini berlaku, saya bersama Perdana Menteri berada di Shenzhen (China) dan beliau menyampaikan kepada saya berkaitan kawalan pintu masuk negara di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dan sebagainya.

“Jadi Perdana Menteri ada cadangan dan beliau akan bawa pada mesyuarat Jemaah Menteri khusus untuk bincang isu ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata, fokus utama KDN ketika ini adalah memastikan aktiviti penyeludupan dadah dikekang daripada terus berleluasa khususnya melibatkan pintu masuk rasmi negara.

Katanya, bagaimanapun, wujud kemungkinan peranan itu akan diperluas ke pintu masuk udara lain, susulan kejadian penyeludupan dadah membabitkan pegawai TUDM.

“Apakah kawalan kita hanya terhadap pintu masuk rasmi sahaja dan tak termasuk pangkalan pasukan keselamatan seperti tentera dan polis kerana polis misalnya ada pangkalan untuk PGU dan TUDM juga ada banyak pangkalannya sendiri.

“Sekarang fokus kita adalah kawalan pintu masuk tetapi ekoran insiden ini, Perdana Menteri bangkitkan untuk KDN melihat balik apakah ini wajar untuk kita lihat?,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri mendedahkan pegawai TUDM termasuk juruterbang dikesan terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah membabitkan jumlah besar.

Berikutan itu, pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan, lima pegawai TUDM ialah antara 11 suspek ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran 96.64 kilogram (kg) dadah dengan menggunakan aset TUDM.

Beliau berkata, 11 individu termasuk enam orang awam itu diberkas susulan penemuan syabu dianggarkan bernilai RM4.83 juta. – UTUSAN

The post Kabinet bincang isu seludup dadah minggu depan appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news