LATEST
National

Tipu peperiksaan guna AI: Menteri Pendidikan Korea Selatan letak jawatan

Tipu peperiksaan guna AI: Menteri Pendidikan Korea Selatan letak jawatan

SEOUL: Menteri Pendidikan Korea Selatan, Choi Kyo-jin, meletakkan jawatan susulan skandal penipuan peperiksaan menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang tercetus menjelang peperiksaan kemasukan universiti utama negara itu, minggu lalu.

Dalam kenyataan menerusi X, Choi mengakui pihaknya berdepan kritikan kerana gagal membuat persediaan secukupnya bagi menangani kemungkinan penipuan.

Baca juga: Bulgari, tokong barang kemas mewah meninggal dunia

“Peperiksaan selesai tanpa sebarang insiden besar… Namun, sebagai menteri bertanggungjawab, saya tidak terkecuali daripada kritikan orang ramai bahawa kami gagal membuat persediaan secukupnya lebih awal.

“Selepas peperiksaan selesai, saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan dengan ini menawarkan peletakan jawatan saya,” katanya.

Pejabat Presiden mengesahkan Presiden, Lee Jae Myung menerima peletakan jawatan itu.

Kontroversi itu bermula Ahad lalu apabila calon yang memperoleh markah tertinggi dalam peperiksaan akauntan cukai kebangsaan mengaku menggunakan kamera kecil dan telefon pintar untuk mendapatkan markah hampir penuh.

Pengakuan itu dibuat hanya empat hari sebelum peperiksaan kemasukan universiti yang dikenali sebagai Suneung berlangsung.

Peperiksaan Suneung diadakan setiap tahun selama sembilan jam dan dianggap penting kerana keputusannya boleh menentukan peluang calon memasuki universiti terkemuka serta mendapatkan pekerjaan bergaji tinggi.

Dalam masyarakat Korea Selatan sangat kompetitif, keputusan peperiksaan itu juga dilihat boleh mempengaruhi peluang seseorang mendapatkan pasangan hidup.

Susulan pendedahan itu, pihak berkuasa segera mengambil beberapa langkah bagi mengelakkan penipuan, termasuk menyekat penggunaan Wi-Fi awam di kawasan peperiksaan dan menampal pelekat pada butang pakaian calon bagi menghalang penggunaan peralatan tersembunyi.

Bagaimanapun, usaha Choi meredakan kebimbangan orang ramai tidak berhasil, terutama selepas kenyataannya tiga hari sebelum peperiksaan berlangsung mengundang kritikan.

Ketika ditanya dalam pendengaran Parlimen pada Isnin lalu sama ada beliau yakin pihak berkuasa mampu mengesan calon yang cuba menipu pada hari peperiksaan, Choi, 72, menjawab: “Disebabkan usia saya, saya tidak yakin mampu berbuat demikian.”

Jawapan itu segera mencetuskan reaksi negatif orang ramai.

Choi juga tidak menghadiri sidang media pada beberapa hari menjelang peperiksaan yang berlangsung Khamis lalu. Sebaliknya, timbalan menteri mengumumkan langkah pencegahan yang akan dilaksanakan.

Sementara itu, pihak berkuasa mengesan 111 kes salah laku membabitkan penggunaan peranti elektronik sepanjang peperiksaan Khamis lalu.

Hampir separuh daripada kes itu dikesan menerusi tiga amaran kecemasan yang dihantar kerajaan bagi mengenal pasti telefon pintar yang tidak diserahkan oleh calon sebelum peperiksaan bermula. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news