KUALA LUMPUR: Pelakon, Siti Khadijah mengakui ‘kapal’ gandingannya bersama aktor, Amir Ahnaf sudah karam seperti didakwa peminat, namun menegaskan hubungan mereka masih baik dan profesional sebagai rakan industri.
Baca juga: Inter Miami dibelasah Columbus, Messi cetus kontroversi
Siti atau nama sebenarnya Siti Khadijah Abdul Halim, 29, berkata, industri hiburan tempatan yang kecil membuatkan mereka tidak boleh mengelak daripada bertemu dan dia tiada masalah untuk bertegur sapa.
“Kami baik saja. Cuma dalam industri seni ini, pusing-pusing akan jumpa orang yang sama. Industri ini kecil, kalau dia ada di sebelah pun saya akan tegur saja.
“Mengenai ‘kapal’, sudah karam. Minta maaf, saya bukan kapten kapal itu. Saya hanyalah penumpang atau anak kapal, bukan nakhodanya. Maaf kalau ini tidak seperti mana yang anda jangkakan,” katanya.
Enggan mengulas panjang kerana menyifatkan perkara itu sensitif, pelakon drama Sekali Lagi Cinta Kembali ini tetap menghargai sokongan peminat sehingga mereka tercalon dalam sebuah anugerah, bulan depan.
“Saya faham peminat suka gandingan kami dan kami pun tercalon untuk anugerah akan datang. Kalau ada rezeki, insya-Allah. Saya tak mahu komen banyak sebab benda ini agak sensitif,” katanya.
Dalam pada itu, Siti meminta orang ramai menilai bakat lakonannya berbanding kisah peribadi selain berjanji akan berkongsi sekiranya sudah bertemu jodoh bagi mengelak fitnah.
“Tolonglah, lihatlah bakat saya bukan setakat kisah cinta. Kalau ada berita baik, saya akan beritahu dan hebahkan untuk mengelak sebarang fitnah,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua pelakon itu didakwa menjalin hubungan istimewa selepas membintangi drama Cinta Dalam Sekam, namun hubungan mereka dikatakan renggang susulan beberapa kontroversi membabitkan Amir sebelum ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd