SHAH ALAM – Usul mendesak penggubalan Akta Pariti Gender dalam Perwakilan Politik bagi menjamin sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan wanita telah diluluskan pada Konvensyen Nasional 2026 Parti Amanah Negara (Amanah) selepas menerima 225 undi daripada perwakilan.Sebanyak 164 perwakilan pula membantah usul berkenaan.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, berkata, Wanita Amanah mengemukakan lima tuntutan utama, termasuk mempercepat penggubalan Akta Pariti Gender dalam Perwakilan Politik.Menurutnya, kerajaan perlu menyegerakan proses penelitian dan konsultasi rentas parti dengan sasaran pembentangan rang undang-undang tersebut pada tahun 2027, sebaik-baiknya sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).”Selain itu, menetapkan minimum 30 peratus pencalonan wanita dalam PRU dan Pilihan Raya Negeri (PRN), selain mewujudkan dana insentif bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam politik.”Seterusnya, memastikan pelaporan dan pemantauan bebas. Kami juga mendesak Amanah menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus pencalonan wanita bagi PRU16 dan pilihan raya seterusnya, termasuk di kerusi yang berdaya saing.”Dalam masa sama, perkara yang lebih penting adalah memasukkan komitmen minimum 30 peratus penglibatan wanita ke dalam Perlembagaan Parti Amanah Negara,” katanya ketika mewakili Jawatankuasa Pimpinan Awan membentangkan usul berkenaan.Tambah Hafidzah, usul tersebut penting bagi memastikan pembangunan negara terus berkembang secara inklusif.Menurutnya, wanita membentuk hampir separuh daripada jumlah penduduk Malaysia dan memainkan peranan besar dalam pembangunan keluarga serta negara.”Bayangkan sebuah negara mempunyai dua sayap, tetapi hanya membenarkan satu sayap berkembang sepenuhnya. Mampukah negara itu terbang tinggi?”Namun, apabila tiba masanya menentukan kepimpinan dan hala tuju negara, suara wanita masih terlalu kecil. Alangkah ruginya Malaysia apabila separuh daripada bakat dan kebijaksanaan rakyat tidak dimanfaatkan secara adil.”Dalam konteks yang sama, alangkah ruginya Amanah jika wanita yang bertahun-tahun membina parti, menggerakkan akar umbi dan mempertahankan perjuangan akhirnya diketepikan apabila tiba masanya memilih pemimpin serta calon pilihan raya,” katanya.
Usul jamin 30 peratus pencalonan wanita diluluskan – Amanah
Malay News | https://www.malay.news/usul-jamin-30-peratus-pencalonan-wanita-diluluskan-amanah/