KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bertekad memperjuangkan pengembalian Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang disifatkan lebih adil dan bersasar berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, cadangan mengembalikan GST bukan bermaksud menolak pelaksanaan SST, sebaliknya bagi memastikan sistem percukaian negara lebih saksama.
Baca juga: Jangan hukum keseluruhan ATM, TUDM akibat perbuatan segelintir anggota – Mohamed Khaled
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, lebih 170 negara telah melaksanakan GST, sedangkan Malaysia masih antara negara yang tidak menggunakan sistem percukaian itu.
“Saya sangat bersetuju GST dikembalikan. Ini bukan bermaksud SST tidak baik, tetapi GST lebih adil dan bersasar.
“Saya bertekad bersama seluruh anggota Barisan Nasional untuk terus memperjuangkan pengembalian GST sekiranya kita memutuskan untuk melaksanakannya semula,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Agung MCA ke-4 di Wisma MCA, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, BN sebelum ini telah melakukan yang terbaik dalam pelaksanaan GST dan beliau bertekad untuk terus memperjuangkan pengembalian cukai tersebut.
Katanya, MCA juga perlu memainkan peranan lebih besar dalam memperjuangkan isu berkenaan supaya suara parti itu dapat didengar dalam usaha BN membela kepentingan rakyat.
“Suara MCA mesti kuat dalam perjuangan bersama. Siapa yang akan memperjuangkan rakyat jika kita tidak berdiri bersama?” katanya.
Sementara itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pihaknya konsisten mencadangkan pelaksanaan semula GST bagi menghindar ketirisan dan mencegah ekonomi gelap (black economy), selain mengatasi kesan cukai berganda atau cascading effect akibat pelaksanaan SST.
Katanya, isu peluasan skop SST dan pelaksanaan e-invois yang sentiasa dipinda turut menjadi antara perkara yang dibangkitkan MCA.
“Kesemua ini dapat diatasi dengan pengenalan semula sistem GST yang sedang dilaksanakan oleh 175 buah negara di dunia,” katanya.- UTUSAN
The post BN tekad perjuang kembalikan GST, lebih adil dari SST appeared first on Utusan Malaysia.