LATEST

Ribuan berkumpul untuk bertemu lebih 200 maskot

Ribuan berkumpul untuk bertemu lebih 200 maskot

Tokyo: Puluhan ribu peminat maskot berkumpul di sebuah bandar berhampiran Tokyo semalam untuk bertemu dan bergambar dengan lebih 200 watak maskot bersaiz manusia yang mempromosikan bandar, wilayah serta perniagaan tempatan.

Baca juga: Richard Chin terus menyerlah di Scotland

Di negara yang terkenal dengan Hello Kitty dan Pokemon itu, maskot digunakan untuk mempromosikan pelbagai perkara termasuk penjara dan sistem kereta api, selain perniagaan swasta.

Maskot yang popular turut mendapat status seperti selebriti.

“Ini kali pertama saya menghadiri acara seperti ini, jadi saya agak teruja,” kata Yuriko Okamori, 51, kepada AFP ketika menghadiri perhimpunan tahunan itu.

Perhimpunan maskot itu diadakan di bandar Hanyu, wilayah Saitama sejak 2010 dan hampir 220 maskot dijemput untuk menyertai acara tahun ini, menurut penganjur.

Di atas pentas, sekumpulan maskot haiwan menari mengikut irama muzik pop rancak, manakala orang ramai merakam persembahan menggunakan telefon pintar sambil bertepuk tangan.

Di lokasi lain, maskot kuda pony popular mewakili wilayah Gunma dikerumuni peminat yang mahu berswafoto, manakala seekor maskot kucing ditolak menggunakan kereta sorong melalui orang ramai yang sesak untuk bergerak ke kawasan lain.

Pegawai bandar yang menyelia acara itu, Shogo Dei berkata, tahun lalu kira-kira 80,000 orang menghadiri perhimpunan itu yang berlangsung dua hari dan penganjur menjangkakan jumlah yang sama pada tahun ini.

“Watak maskot tempatan yang mewakili sesuatu wilayah merupakan sebahagian daripada budaya Jepun. Matlamat kami adalah membantu menghidupkan semula bandar di seluruh Jepun melalui watak ini,” kata Dei.

Maskot di Jepun mampu menjana pendapatan berjuta-juta dolar sekiranya berjaya mendapat sambutan walaupun tidak mempunyai pengiktirafan global, contohnya jenama harta intelek utama seperti Pikachu.

Satu lagi watak popular Hikonyan, kucing yang memakai topi keledar samurai dan dikaitkan dengan Istana Hikone di barat Jepun turut membantu menarik pelancong ke kawasan itu.

Malah, watak itu menerima kira-kira 10,000 kad ucapan tahun baharu dari seluruh Jepun pada Januari lalu.

“Terdapat begitu banyak watak berbeza mewakili pelbagai tempat dan bukan sesuatu yang luar biasa untuk melihat orang dewasa membawa barangan maskot pada beg mereka. Saya fikir itu sesuatu yang unik kepada Jepun,” kata Okamori.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news