MEXICO CITY – Tentera Mexico pada Sabtu mengumumkan penahanan seorang ketua sindiket dadah yang tersenarai dalam 10 individu paling dikehendaki Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) di bawah operasi khas yang turut mengorbankan empat anggota tentera dan tujuh individu disyaki penjenayah.Fausto Isidro Meza yang dikenali sebagai Chapo Isidro ditahan dalam serbuan di negeri Sinaloa, barat laut Mexico pada malam sebelumnya.Operasi itu turut membawa kepada penahanan individu yang dipercayai orang kanannya dan seorang pengendali kewangan organisasi jenayah tersebut.Kementerian Pertahanan Mexico memaklumkan tiada kematian atau kecederaan dalam kalangan orang awam dilaporkan.Bagaimanapun, operasi itu mencetuskan kekacauan di kawasan sekitar apabila bunyi tembakan menyebabkan perlawanan besbol profesional di Guasave terpaksa dihentikan.Beberapa klip yang belum disahkan dan tersebar di media sosial menunjukkan penonton bertempiaran lari mencari perlindungan di dalam stadium sambil kedengaran jeritan ‘tunduk, tunduk!’ ketika bunyi tembakan bertalu-talu kedengaran berhampiran lokasi itu.Satu lagi rakaman menunjukkan sebuah helikopter tentera berlegar di udara sambil melepaskan tembakan menggunakan mesingan.Keganasan turut merebak ke beberapa kawasan lain di Sinaloa apabila kumpulan disyaki anggota kumpulan jenayah tersebut mendirikan sekatan jalan raya sementara.Menerusi video yang tular di media sosial, seorang lelaki dipercayai Chapo Isidro yang sudah ditahan merayu kepada pengikutnya supaya menghentikan tindakan ganas yang boleh mengancam keselamatan kanak-kanak, wanita dan orang awam yang tidak berdosa. – AFP
Mexico berkas ketua kartel dadah buruan FBI
Malay News | https://www.malay.news/mexico-berkas-ketua-kartel-dadah-buruan-fbi/