LATEST
National

Kejayaan PRN tiga negeri jadi asas rundingan BN-PN hadapi PRU16

Kejayaan PRN tiga negeri jadi asas rundingan BN-PN hadapi PRU16

KOTA TINGGI: Kejayaan kerjasama politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, bakal dijadikan asas bagi Barisan Nasional (BN) mendepani rundingan bersama Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Baca juga: Tipu peperiksaan guna AI: Menteri Pendidikan Korea Selatan letak jawatan

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata parti itu sentiasa memilih pendekatan positif demi memastikan perjuangan BN kekal relevan dalam landskap politik semasa.

Beliau berkata, setiap parti berhak menyatakan pandangan, namun sebarang perundingan perlu bermula dengan kesepakatan terhadap matlamat yang lebih besar.

“Tak apa, masing-masing ada pandangan, tapi apapun kita percaya kita mempunyai matlamat yang besar. Berpijak daripada situ, kita berunding untuk pastikan dapat mencapai matlamat besar kita.

“Kita sudah tunjukkan pelbagai bentuk hubungan yang kita jayakan seperti di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Di Johor, mereka bersetuju bertanding beberapa kerusi, di Negeri Sembilan ada persefahaman (manifesto bersama), manakala di Melaka, ada kerjasama.

“Jadi, semua itu kita akan bincang. Saya percaya apa sahaja isu, cabaran atau ketidaksetujuan tentunya akan diambil kira dalam lingkungan matlamat yang lebih besar,” katanya pada sidang media selepas Program Hari Apresiasi Kanak-kanak tabika/taska KEMAS Parlimen Kota Tinggi 2026, di Bandar Penawar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang membayangkan rundingan kerjasama antara BN dan PN mungkin berdepan kesukaran, terutamanya membabitkan pembahagian kerusi selain peringatan bahawa ‘tiada abang long’ dalam gabungan.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, UMNO menyedari hakikat persekitaran politik hari ini memerlukan gabungan strategi yang mantap.

“Setiap pilihan raya ada cabaran dan setiap parti mahu menang. Terutamanya UMNO tahu bahawa bersendirian tak mungkin boleh membawa kepada kemenangan, jadi bersandarkan kepada parameter itu kita akan duduk berbincang.

“Saya masuk dengan pendekatan positif. Orang lain kalau masuk dengan pendekatan nak gagalkan, gagallah. Tapi kita masuk dengan pendekatan kita nak pastikan UMNO dan BN masih relevan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news