LATEST

61 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan kecemasan RM1,000

61 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan kecemasan RM1,000

Kuching: Sebanyak 61 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk tujuan kecemasan berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2024.

Baca juga: Ribuan berkumpul untuk bertemu lebih 200 maskot

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata keadaan itu bermakna sebahagian besar rakyat tidak mempunyai simpanan mencukupi untuk menghadapi perkara tidak dijangka.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 37 peratus rakyat juga tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selama tiga bulan sekiranya kehilangan pekerjaan.

“Inilah antara cabaran berdasarkan fakta dan angka yang dikemukakan oleh Bank Negara Malaysia. Oleh itu, saya berpendapat bahawa literasi kewangan amat penting dan perlu terus dipertingkatkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian program Juh Kita Melabur, Anak Sarawak di cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) Kuching, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASNB Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berkata pendidikan kewangan perlu diterapkan sejak usia muda bagi membentuk generasi yang lebih bijak mengurus kewangan.

Beliau berkata, pemahaman awal tentang nilai wang, kepentingan menyimpan dan asas pelaburan akan membantu golongan muda membuat keputusan kewangan yang lebih baik apabila memasuki alam dewasa.

“Kami juga amat menghargai sambutan yang diberikan oleh rakyat Sarawak terhadap pelbagai program pendidikan kewangan yang telah dianjurkan sebelum ini.

“Sambutan tersebut menunjukkan bahawa minat untuk belajar, menyimpan dan melabur sememangnya wujud dalam kalangan masyarakat di negeri ini,” katanya.

Berlandaskan hubungan dan kepercayaan yang telah dibina itu, Fadzihan berkata ASNB memperkenalkan Kempen Juh, Melabur Menang Mas, khusus untuk rakyat Sarawak.

Beliau berkata, kempen yang berlangsung dari 1 Nov hingga 31 Dis itu terbuka kepada pemegang unit yang memenuhi syarat kelayakan sebagai peserta dari Sarawak.

Menerusi kempen itu, setiap pelaburan bersih terkumpul sebanyak RM5,000 yang dibuat dan dikekalkan sehingga tamat tempoh kempen akan melayakkan peserta menerima satu penyertaan automatik untuk cabutan bertuah, tertakluk pada terma dan syarat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news