LATEST

Remaja 14 tahun redah rumah terbakar selamatkan dua kanak-kanak

Remaja 14 tahun redah rumah terbakar selamatkan dua kanak-kanak

Shanghai: Seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di China mendapat pujian meluas di media sosial selepas nekad meredah rumah terbakar bagi menyelamatkan dua kanak-kanak kecil yang terperangkap.

Baca juga: JPS ramal banjir di 4 jajahan Kelantan bermula 24 November ini

Kejadian berlaku ketika remaja itu dalam perjalanan pulang selepas mendapat cuti sakit daripada sekolah pada 24 Jun lalu.

Keberaniannya diiktiraf pihak berkuasa dengan pasukan bomba daerah Fenghuang di Wilayah Hunan turut menyampaikan sijil penghargaan pada 14 November lalu.

SCMP melaporkan ketika kejadian, Long Shi mengalami demam dan meminta kebenaran sekolah untuk pulang awal dan dalam perjalanan itu dia melihat sebuah rumah dipenuhi asap dan sedang terbakar.

Pada awalnya, tidak mengendahkannya sehinggalah terdengar tangisan kanak-kanak. Tanpa berlengah Long bergegas masuk ke dalam rumah dan menemui kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dan adik lelakinya berusia dua tahun.

“Api hampir menyambar katil dan cadar sudah mula terbakar. Kanak-kanak perempuan itu berada dalam keadaan ketakutan di sudut bilik dan adik lelakinya duduk di atas katil. Tiada orang dewasa ketika itu,” katanya.

Long kemudian mendukung kanak-kanak lelaki dan memimpin kakaknya keluar dari rumah berkenaan ke tempat selamat.

Selepas kejadian, dia menghantar mesej kepada ibunya memaklumkan sudah menyelamatkan dua kanak-kanak itu, selain berkongsi rakaman video kebakaran berkenaan.

Bapa kepada kedua-dua kanak-kanak itu, Wu Xianjin berkata, dia berada di tempat kerja ketika kebakaran berlaku sebelum menerima panggilan telefon memaklumkan kejadian berkenaan.

Sebagai tanda penghargaan, keluarga kanak-kanak itu menghadiahkan sepanduk merah kepada Long yang memuji keberaniannya menyelamatkan dua kanak-kanak berkenaan tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri.

Long yang berbakat dalam sukan bola keranjang berkata, dia bercita-cita untuk menyertai pasukan tentera pada masa depan dan pengalaman menyelamatkan kedua-dua kanak-kanak itu semakin menguatkan hasratnya.

Pada awal November lalu, keluarga Long mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa tempatan bagi mendapatkan Anugerah Insan Baik sebagai pengiktirafan terhadap tindakannya dan pada 14 November lalu, bomba daerah Fenghuang menyampaikan sijil penghargaan kepadanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news