LATEST
Social Media

BN janji kembalikan GST jika kembali tawan Putrajaya – Ahmad Zahid

BN janji kembalikan GST jika kembali tawan Putrajaya – Ahmad Zahid

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berjanji untuk mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya gabungan itu berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Menurutnya, GST merupakan sistem percukaian yang lebih adil dan berfokus berbanding Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang sedang dilaksanakan di Malaysia.

Baca juga: Ahmad Maslan mahu pendirian politik diperjelas -“Negeri ikut BN, pusat ikut PH? Mana boleh!”

Ahmad Zahid berkata, penggunaan GST secara meluas di lebih 170 negara membuktikan sistem berkenaan wajar dipertimbangkan semula bagi memperkukuh struktur percukaian negara.

“Saya dengan rakan-rakan BN berazam jika kita tawan Putrajaya semula, kita terus kembalikan GST.
“Ini bukan soal SST kononnya lebih adil dan berfokus. GST dilaksanakan lebih 170 negara, hanya kita (Malaysia) yang tertinggal dan melaksanakan SST,” katanya, hari ini.

Kredit Foto: BERNAMA

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid turut mengimbas pelaksanaan GST ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menurutnya telah memberikan manfaat kepada ekonomi negara.

Katanya, pendekatan pentadbiran terdahulu itu perlu dijadikan rujukan dalam usaha memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya berkaitan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan masyarakat.

“Kita umpama menoleh semula ke belakang. Bosku (Najib) telah melakukan yang terbaik dulu.
“Jadi, apabila rakyat mencari pihak yang akan memperjuangkan kepentingan mereka, kita mesti tampil bersama-sama,” katanya lagi.

Sementara itu, Ahmad Zahid menekankan bahawa rakyat memerlukan kerajaan yang mampu memberikan perhatian kepada cabaran ekonomi semasa, termasuk peningkatan kos sara hidup dan peluang perniagaan.

Beliau berkata, BN perlu tampil dengan pendekatan yang dapat memenuhi keperluan masyarakat serta memperjuangkan kepentingan rakyat daripada pelbagai lapisan.

“Saya mahu kita memperjuangkan nasib rakyat dan kepentingan seluruh rakyat Malaysia, khususnya dalam bidang ekonomi,” ujar beliau.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Perhimpunan Agung ke-4, Perwakilan MCA ke-30 di Wisma MCA, hari ini. NSTP/ASWADI ALIAS

Kredit Foto: NSTP/ASWADI ALIAS

Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 pada 11 September lalu turut menggesa kerajaan mengembalikan GST yang disifatkannya sebagai sistem percukaian lebih berkesan.

Pada masa sama, beliau menyuarakan hasrat agar kadar GST yang ditetapkan sekiranya diperkenalkan semula berada pada paras lebih munasabah bagi mengambil kira aspek jaminan sosial rakyat.

Bagaimanapun, cadangan mengembalikan GST itu masih merupakan pendirian dan janji politik BN sekiranya kembali menerajui kerajaan Persekutuan selepas PRU16.

Sumber: BH Online (Mukhriz Mat Husin)

More in Social Media

View all

Latest news