LATEST

Kebakaran kilang: Tiga maut, 36 lagi masih hilang

Kebakaran kilang: Tiga maut, 36 lagi masih hilang

Jakarta: Sekurang-kurangnya tiga orang maut, manakala 36 lagi masih hilang dalam kebakaran kilang gula dan manisan di barat Jakarta, menurut pegawai penyelamat Indonesia hari ini.

Baca juga: Kejayaan PRN tiga negeri jadi asas rundingan BN-PN hadapi PRU16

Rakaman dron menunjukkan sebahagian besar kilang itu, musnah dengan bumbung runtuh di beberapa bahagian, manakala asap kelihatan keluar dari kawasan kompleks.

Gambar dan video yang dikongsi pasukan penyelamat turut memaparkan anggota memasuki bangunan yang hangus terbakar bagi mencari mangsa, manakala api masih kelihatan di beberapa bahagian premis berkenaan.

Rakaman disiarkan stesen penyiaran tempatan menunjukkan ahli keluarga mangsa yang masih hilang berkumpul berhampiran pintu masuk kilang untuk mendapatkan perkembangan mengenai nasib orang tersayang mereka.

Pegawai agensi mencari dan menyelamat (SAR) tempatan, Rizky Dwianto berkata, kilang PT Fonusa Agung Mulia yang terletak di daerah Serang, kira-kira 50 kilometer dari ibu negara itu terbakar pada petang Sabtu.

“Semua anggota pasukan SAR gabungan sedang berusaha sedaya upaya untuk mengesan mangsa sambil mengutamakan keselamatan anggota yang bertugas di lapangan,” katanya.

Rizky berkata, empat individu cedera sudah dibawa ke hospital serta klinik kesihatan berhampiran untuk mendapatkan rawatan.

Pegawai bomba, Tubagus Machfudz pula memberitahu stesen penyiaran tempatan, Kompas TV bahawa pihaknya dimaklum mengenai kejadian pada jam 4.30 petang (waktu tempatan) Sabtu.

“Ketika kami tiba di lokasi, sebahagian besar kawasan sudah terbakar. Oleh itu, kami tidak dapat menentukan sama ada sistem perlindungan kebakaran syarikat berfungsi dengan baik atau sebaliknya,” katanya.

Gabenor wilayah Banten, Andra Soni memberitahu pemberita, dianggarkan 60 orang berada di dalam kilang ketika kebakaran berlaku.

Punca kejadian masih dalam siasatan, menurut agensi pengurusan bencana tempatan semalam.

Kebakaran yang mengorbankan nyawa bukan sesuatu yang asing di Indonesia. Pada Disember 2025, kebakaran yang dipercayai berpunca daripada letupan bateri dron telah memusnahkan sebuah bangunan tujuh tingkat di Jakarta dan mengorbankan sekurang-kurangnya 22 orang.

Pada 2023, sekurang-kurangnya 13 orang maut di timur negara itu susulan letupan di sebuah kilang pemprosesan nikel.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news