GEORGETOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membidas Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng kerana berulang kali mendakwa wujud amalan tidak beretika dalam perjanjian bekalan air pukal antara Perak dan Pulau Pinang.
Baca juga: PRN Sarawak: Rundingan kerusi PKR, DAP, PBDS bukan sekadar tawar-menawar
Kon Yeow yang juga Pengerusi PBA Holdings Bhd (PBAHB) dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), berkata tindakan Guan Eng terus mengulangi dakwaan itu amat dikesali walaupun penjelasan mengenai Perjanjian Bekalan Air Pukal (BWSA) sudah diberikan beberapa kali.
Dalam satu kenyataan, Kon Yeow mempersoalkan apakah yang tidak beretika dalam usaha mendapatkan kapasiti infrastruktur dan jaminan keselamatan bekalan air untuk tempoh 40 tahun demi kepentingan rakyat, sektor perindustrian, pelabur serta generasi akan datang.
Beliau berkata, perjanjian itu mendapat kelulusan semua anggota lembaga pengarah PBAPP dan memperoleh sokongan 98 peratus pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBAHB pada 12 November lalu.
Mengulas kebimbangan berhubung keputusan lembaga pengarah, Kon Yeow berkata, pandangan dan profesionalisme lima pengarah bebas PBAHB sudah direkodkan serta dihormati dalam mesyuarat berkenaan yang meluluskan perjanjian itu menerusi undian majoriti, iaitu tujuh berbanding lima.
“Bantahan mereka hanya tertumpu kepada terma pembayaran tertentu yang sudah ditangani menerusi klausa dalam perjanjian berkenaan,” katanya.
Sebelum ini, Guan Eng mendakwa Kon Yeow bertindak tidak beretika kerana mengetepikan kebimbangan berhubung perjanjian bekalan air negeri bernilai RM8.4 bilion dengan Perak.
Beliau turut mendakwa Kon Yeow tidak menghormati pertimbangan kewangan dan profesionalisme lima pengarah bebas PBAHB yang membantah terma perjanjian itu.
Kon Yeow turut menolak dakwaan Guan Eng bahawa PBAPP terpaksa membayar RM210 juta setahun selama 40 tahun tanpa menerima walau setitis air, sambil menyifatkan gambaran itu sebagai mengelirukan dan tidak beretika.
Beliau menjelaskan bahawa PBAPP tidak diwajibkan membuat sebarang pembayaran kepada Perak sebelum pelaksanaan bekalan air bermula, manakala sebarang pembayaran yang dibuat tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menerusi perjanjian itu, Pulau Pinang memperoleh akses kepada kapasiti infrastruktur bekalan air yang besar tanpa perlu menanggung keseluruhan kos pembinaan serta risiko pembangunan pada peringkat awal.
Kon Yeow berkata, PBAPP mempunyai hak di bawah kontrak untuk mengambil tindakan, termasuk menamatkan perjanjian sekiranya berlaku pelanggaran syarat kontrak yang tidak diperbetulkan.
“Ini bermakna Pulau Pinang tidak terikat untuk membuat pembayaran sehingga 2072 seperti yang didakwa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd