sukan@hmetro.com.my
Baca juga: Saya bukan cari artis mahu glamor semata – Shiha Zikir
Kuala Terengganu: Pengalaman sebagai pemain, jurulatih dan pengadil menjadi bekalan berharga buat Mohd Yusof Chik, 62, yang terus menyumbang kepada pembangunan sukan sepak takraw selepas lebih empat dekad berkecimpung dalam sukan berkenaan.
Anak kelahiran Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu itu pernah mewakili Terengganu pada tahun 1984 sebelum diberi kepercayaan menyarung jersi kebangsaan pada tahun 1988.
Antara pencapaian terbesar sepanjang kariernya sebagai pemain ialah membantu Malaysia meraih pingat emas pada Kejohanan Piala Raja Thai pada tahun 1988, selain memenangi pingat perak acara berpasukan pada Sukan SEA.
Menariknya, sebelum memberi tumpuan sepenuhnya kepada sepak takraw, Yusof pernah berkhidmat sebagai anggota polis sebelum bertukar ke sektor perbankan.
Mengulas perkembangan sukan sepak takraw, beliau menyifatkan pendekatan pembangunan bakat pada masa kini jauh berbeza berbanding zaman ketika beliau aktif bermain.
Katanya, dahulu kebanyakan pemain berbakat dilahirkan dari kampung dan diketengahkan menerusi kejohanan anjuran persatuan, agensi berkaitan sepak takraw serta kelab-kelab yang aktif menjalankan program pencarian bakat.
“Pada zaman dahulu, pemain bermain atas dasar minat yang mendalam dan tidak mengharapkan imbuhan. Kebanyakan latihan juga dilakukan sendiri tanpa program latihan khusus seperti yang ada sekarang.
“Namun, hari ini kita melihat perkembangan positif apabila semakin banyak sekolah sukan diwujudkan dengan tumpuan lebih khusus kepada pembangunan sesuatu sukan.
“Program di sekolah juga lebih tersusun dengan adanya jurulatih bertauliah yang mampu membimbing pemain sejak usia muda,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd