Bukan mudah bergelar penyanyi jika sekadar bermodalkan rupa, bakat dan keinginan untuk popular. Bagi penyanyi dan penerbit lagu, Shiha Zikir, seseorang yang mahu menapak dalam industri muzik perlu mempunyai jiwa seni, minat mendalam serta kesungguhan untuk berdepan jatuh bangun dunia hiburan.
Justeru, menerusi label rakamannya, Shiha Zikir Empire, Shiha tidak mahu sekadar mencari bakat baharu, sebaliknya individu yang benar-benar bersedia untuk berjuang dan tidak mudah mengalah apabila berdepan kegagalan.
Baca juga: Pemuda MCA, UMNO jangan bergaduh – Ahmad Zahid
Ramai mahu bergelar penyanyi, tetapi adakah mereka benar-benar cintakan dunia seni atau sekadar mahu menumpang populariti Shiha dan Shiha Zikir Empire?
Memang ramai individu berbakat menghantar mesej secara peribadi kepada saya. Apabila mereka tahu saya mempunyai label rakaman sendiri, mungkin mereka melihatnya sebagai peluang untuk mendapatkan bantuan menghasilkan lagu dan mengembangkan kerjaya seni.
Namun,saya bukan sekadar mencari individu yang mempunyai bakat menyanyi. Saya mahu seseorang yang benar-benar mempunyai semangat dan minat mendalam terhadap bidang ini.
Bagi saya, kalau seseorang itu mempunyai jiwa dalam industri muzik, perjalanan mereka akan menjadi lebih mudah kerana mereka sentiasa mempunyai keinginan untuk berusaha. Kebolehan menyanyi secara langsung bagus, rakaman di studio pun bagus dan sikapnya juga perlu baik. Apabila semua itu ada, selebihnya kita serahkan kepada Allah kerana setiap orang mempunyai rezeki masing-masing.
Ada yang mengaku mahu menjadi penyanyi kerana ingin popular dan dikenali ramai. Adakah mentaliti sebegini semakin membimbangkan Shiha dalam kalangan bakat baharu hari ini?
Ya, kebanyakannya begitu. Ada yang apabila ditanya mengapa mahu menjadi penyanyi, mereka menjawab, “Saya mahu menjadi popular, kak. Saya suka TikTok dan mahu orang melihat saya sebagai seorang yang popular.” Bagi saya, walau sebagus mana pun bakat seseorang, jawapan seperti itu bukan kriteria yang dicari. Kalau seseorang itu benar-benar tahu hala tujunya, dia akan berkata bahawa dia memang meminati bidang nyanyian dan mahu mengekspresikan bakat yang ada.
Tetapi kalau jawapannya kerana nampak seronok menjadi artis, mahu merasai populariti dan dikenali ramai, itu berbeza. Kadangkala mereka hanya melihat kehidupan sebagai artis sesuatu yang menyeronokkan.
Mungkin sekarang ramai yang melihat dunia hiburan dari sudut populariti semata-mata. Mereka nampak keseronokan berada di atas pentas, dikenali ramai dan mendapat perhatian, tetapi belum tentu memahami apa yang perlu dilalui untuk sampai ke tahap itu.

Belum sempat lagu pertama meletup, ada yang sudah mula menyalahkan pihak label apabila gagal mendapat perhatian. Adakah sikap mudah mengalah seperti ini antara perkara yang paling Shiha tidak boleh terima?
Memang itulah antara sikap yang saya tidak mahu ada dalam Shiha Zikir Empire. Kalau seseorang itu tidak mempunyai semangat yang kuat, apabila lagu pertama atau single pertama tidak mendapat sambutan, mereka mudah mengalah. Ada yang mula menyalahkan keadaan, orang lain, pihak label atau pengurus. Sayang sebenarnya kerana kita mungkin melihat seseorang itu mempunyai pakej dan bakat yang diperlukan, tetapi apabila berdepan sedikit cabaran, mereka terus hilang semangat.
Saya mahu individu yang sanggup berusaha bersama-sama. Kalau lagu pertama tidak menjadi, tidak mengapa. Kita cuba lagi.Bagi saya, itulah semangat yang penting. Kita tidak boleh mengharapkan semuanya berjalan lancar sejak awal. Perlu ada kesediaan untuk menghadapi kegagalan dan bangkit semula.
Pihak label sudah mengeluarkan modal besar untuk menghasilkan lagu dan video muzik, tetapi jika artis sendiri tidak bersungguh-sungguh, bukankah itu satu kerugian? Sejauh mana Shiha mahu artis memahami pengorbanan di sebalik sesebuah penerbitan?
Sangat penting kerana untuk menghasilkan sebuah lagu, kosnya bukan sedikit. Kita perlu mengeluarkan belanja untuk rakaman, menghasilkan video muzik, mengadakan sidang media dan pelbagai perkara lain.Semuanya melibatkan perbelanjaan yang tinggi. Sudah tentu pihak label mengharapkan pulangan daripada pelaburan tersebut. Namun, artis itu sendiri perlu mempunyai kesungguhan dan kesediaan untuk memberikan yang terbaik.
Kita boleh membantu menyediakan kemudahan dan peluang, tetapi mereka juga perlu memainkan peranan.
Kalau lagu tidak mendapat sambutan, jangan terus menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, kita perlu mencari jalan untuk memperbaiki kekurangan dan mencuba lagi. Saya mahu mereka memahami bahawa pihak label juga berusaha dan mengeluarkan modal untuk membantu membina kerjaya mereka.
The post Saya bukan cari artis mahu glamor semata – Shiha Zikir appeared first on Utusan Malaysia.