KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) perlu mempercepatkan persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang berkemungkinan diadakan pada bila-bila masa sepanjang tahun depan.Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua parti komponen gabungan itu perlu segera membangunkan tawaran dasar masing-masing sebelum diselaraskan menerusi kumpulan kerja bersama dan pasukan pemikir atau think tank.Menurutnya, meskipun PRU16 dijangka berlangsung dalam tempoh setahun atau setahun setengah lagi, semua parti tidak boleh mengambil mudah kemungkinan ia diadakan lebih awal.”Sebab pilihan raya walaupun tempohnya lambat lagi, setahun lagi, setahun setengah lagi, setahun lagi pilihan raya umum, tetapi it could be anytime in 2027 (ia boleh berlaku pada bila-bila masa dalam tahun 2027).Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Ke-53 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di Menara PGRM di sini pada Ahad.Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas berkata, dokumen tawaran PN yang bakal dibangunkan secara bersama perlu bersifat komprehensif, realistik dan berpaksikan keadaan sebenar selain mempunyai sasaran jelas yang boleh dinilai rakyat.Tambah Menteri Besar Terengganu itu lagi, penyediaan dokumen berkenaan juga perlu melibatkan sumbangan semua parti komponen bagi memastikan setiap dasar yang ditawarkan mencerminkan kesepakatan gabungan tersebut.Malah, beliau tidak menolak kemungkinan agenda berkenaan perlu diselaraskan dengan rakan muafakat Barisan Nasional (BN) sekiranya kedua-dua gabungan itu berupaya membentuk kerjasama politik yang kukuh menjelang pilihan raya.”Kita mestilah berani berjanji secara bertanggungjawab dan bersedia dinilai atas janji itu.”Rakyat menuntut bukan sahaja ucapan yang baik tetapi mereka menuntut pelaksanaan yang terbaik sehingga sampai kepada mereka,” katanya.Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut menggesa seluruh kepimpinan dan anggota Gerakan supaya terus memelihara hubungan sesama parti komponen PN dengan mengutamakan sikap terbuka serta saling menghormati.Menurutnya, sebarang kekurangan, salah faham atau perbezaan pandangan dalam gabungan perlu ditangani menerusi rundingan secara baik bagi mengelakkan perkara berkenaan menjejaskan kerjasama politik.Beliau berkata, kepercayaan antara parti merupakan asas penting dalam menentukan hala tuju gabungan itu dan perlu dipelihara melalui sikap, keputusan serta tindakan setiap hari.
PRU16 boleh berlaku bila-bila masa pada 2027 – Ahmad Samsuri
Malay News | https://www.malay.news/pru16-boleh-berlaku-bila-bila-masa-pada-2027-ahmad-samsuri/