Las Vegas: Prinsipal Ferrari, Fred Vasseur menyifatkan insiden pertembungan antara Charles Leclerc dan rakan sepasukannya, Lewis Hamilton pada Grand Prix (GP) Las Vegas sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali.
Baca juga: Pearly-Thinaah lengkapkan kejayaan berganda Malaysia
Insiden itu berlaku hanya beberapa minggu selepas kedua-dua pelumba Ferrari berkenaan turut bertembung pada perlumbaan GP Mexico City sehingga memaksa pasukan mengadakan perbincangan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Vasseur berkata, insiden terbaharu itu lebih mengecewakan kerana pihaknya sudah mengingatkan kedua-dua pelumba mengenai kepentingan mengutamakan pasukan selepas kejadian di Mexico dan sekali lagi ketika GP Brazil.
Leclerc dikenakan penalti 10 saat susulan insiden berkenaan sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-10, manakala Hamilton yang turut menerima penalti akibat insiden terdahulu, berada di kedudukan ketujuh.
“Jelas sekali, perkara itu tidak boleh diterima sama sekali. Mesej kami masih sama seperti di Mexico kerana mereka perlu memikirkan pasukan, semua kakitangan yang bekerja di Maranello serta pihak berkepentingan termasuk penaja,” katanya kepada Sky Italia.
Insiden berlaku pada penghujung perlumbaan apabila Leclerc cuba memintas Hamilton menerusi bahagian dalam, namun kedua-dua jentera bersentuhan sehingga menyebabkan pelumba Britain itu berpusing.
Vasseur menegaskan kesilapan Leclerc memberikan kesan besar kepada pasukan dan mengakui kecewa apabila peringatan yang sudah diberikan sebelum ini seolah-olah tidak diendahkan.
“Charles jelas melakukan kesilapan dan tindakan itu memberikan kesan besar kepada pasukan. Apa yang berlaku hari ini memang tidak boleh diterima sama sekali.
“Kami sudah berbincang bersama-sama di Brazil. Hari ini, kami sekali lagi menyampaikan mesej supaya mereka memikirkan kepentingan pasukan ketika bersaing sesama sendiri, tetapi inilah hasilnya.
“Ia benar-benar mengecewakan kami semua,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd