am@hmetro.com.my
Baca juga: Pearly-Thinaah raih kejuaraan kedua Terbuka Hong Kong
Johor Bahru: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian tanah awam kepada seorang ahli politik yang asalnya diwartakan sebagai tapak pasar di Kampung Baru Pandan.
Timbalan Ketua AMK Johor, Jalex Lee berkata, tanah berkenaan didakwa dikurniakan kepada individu yang juga ketua pemuda sebuah parti politik dan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) pada 4 Ogos lalu.
Beliau berkata, isu itu mula mendapat perhatian apabila Notis Pengosongan Tanah dikeluarkan terhadap Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pandan pada Oktober lalu.
Katanya, tindakan berkenaan menimbulkan persoalan serius berhubung kemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa khususnya membabitkan pemberian tanah awam kepada individu yang mempunyai kaitan politik.
“Tanah awam yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat diberikan kepada rakan politik.
“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia membabitkan hak, kebajikan dan kepentingan penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook.
Jalex berkata, tanah awam seharusnya dipelihara dan dimanfaatkan demi kepentingan rakyat, bukannya dijadikan kepentingan individu atau kelompok tertentu.
Sehubungan itu, beliau berharap SPRM dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh dan telus bagi memastikan segala fakta berkaitan isu berkenaan dapat dikenal pasti serta keadilan ditegakkan.
Beliau turut menegaskan perkara itu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kepentingan penduduk setempat terus terpelihara.
© New Straits Times Press (M) Bhd