LATEST

Sivasangari merangkul gelaran Terbuka China

Sivasangari merangkul gelaran Terbuka China

PETALING JAYA: Bintang skuasy No. 4 dunia, S. Sivasangari tidak perlu bermandi keringat untuk merangkul gelaran Terbuka China, selepas pencabarnya, Satomi Watanabe dari Jepun menarik diri daripada perlawanan akhir yang sepatutnya berlangsung malam ini di Shanghai, China.

Ini bermakna anak jati Sungai Petani, Kedah itu diberi kemenangan percuma dan sekali gus mengesahkan gelaran keduanya, musim ini, selepas menjuarai Terbuka Silicon Valley di Redwood City, California, Amerika Syarikat, bulan lalu.

Baca juga: AMK lapor SPRM berkaitan dakwaan pemberian tanah awam kepada ahli politik

Berdasarkan pengesahan daripada Persatuan Skuasy Profesional (PSA), penarikan diri Watanabe yang merupakan pemain No. 7 dunia dan juga pilihan kedua kejohanan disebabkan masalah kesihatan.

“Jelajah Skuasy PSA and Terbuka China selaku penganjur mendoakan Satomi segera sembuh,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, dalam perkongsian di media sosial, Instagram, Sivasangari menyifatkan ia satu berita sedih dan dia mendoakan Watanabe segera sembuh.

“Satu berita sedih dan ini bukan caranya untuk memenangi sesebuah kejohanan, tetapi saya mendoakan Satomi segera sembuh,” katanya.

Setakat ini, Sivasangari telahpun merangkul lima gelaran keseluruhan pada kejohanan berstandard Gold termasuk Terbuka China, Terbuka Silicon Valley, Klasik London, Terbuka Australia dan Piala Grasshopper.

Kejayaan mendakap gelaran pada Terbuka China juga meletakkan Sivasangari sebaris dengan jaguh-jaguh skuasy Malaysia yang pernah menjuarai kejohanan itu sebelum ini.

Pemenang terbanyak ialah Low Wee Wern dengan tiga gelaran pada 2011, 2012 dan 2014, manakala Datuk Nicol David (2014), Rachel Arnold (2024) serta Sivasangari masing-masing meraih satu kemenangan. – UTUSAN

The post Sivasangari merangkul gelaran Terbuka China appeared first on Utusan Malaysia.

Latest news