LATEST

Ramai tak tahu, tulang, kulit dan selaput uri juga boleh didermakan

Ramai tak tahu, tulang, kulit dan selaput uri juga boleh didermakan

mahaizura@mediaprima.com.my

Pendermaan organ mungkin sudah biasa didengari namun tidak ramai menyedari tisu manusia seperti tulang, kulit dan amnion (selaput uri) juga boleh didermakan bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan.

Baca juga: Pengarang Berita HM terima Anugerah Apresiasi Alumni UPM

Malah, tisu berkenaan memainkan peranan penting dalam merawat pelbagai masalah kesihatan termasuk kecederaan serius akibat kemalangan, kerosakan tulang, luka pada kulit serta penyakit tertentu yang menjejaskan permukaan mata.

Di Malaysia, Bank Tisu Universiti Sains Malaysia (USM) satu-satunya institusi yang memproses tisu manusia pelbagai jenis yang diperoleh daripada penderma untuk digunakan dalam perawatan pesakit.

Penyelaras Bank Tisu USM, Prof Dr Suzina Sheikh Ab Hamid berkata, institusi itu adalah bank tisu pertama di Malaysia sejak ditubuhkan pada 5 November 1994 dan mempunyai pengalaman selama 32 tahun dalam pemprosesan pelbagai jenis tisu manusia.

“Bank Tisu USM berperanan sebagai pusat yang menguruskan keseluruhan proses perolehan, pemprosesan, pengujian, pensterilan, pengawetan, penyimpanan dan pengagihan tisu manusia untuk tujuan rawatan serta pemindahan tisu.

“Sepanjang 32 tahun beroperasi, Bank Tisu USM sudah membangunkan kepakaran dalam pemprosesan pelbagai jenis tisu manusia termasuk tulang, amnion, tendon dan kulit.

“Ia turut berperanan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pendermaan tisu selain pendermaan organ,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Perubatan Jabatan Otorinolaringologi-Surgeri Kepala dan Leher, Pusat Pengajian Sains Perubatan USM berkata, sehingga kini lebih 200 pesakit menerima tisu tulang manakala 2,000 pesakit lagi menerima rawatan menggunakan amnion menerusi bekalan tisu yang disediakan Bank Tisu USM.

Katanya, tisu berkenaan dibekalkan kepada hospital kerajaan dan swasta di seluruh negara untuk digunakan pakar perubatan, pakar bedah serta pakar pergigian bagi membantu merawat penyakit atau kecederaan membabitkan tulang, kulit, rongga mulut dan mata.

“Antara keadaan memerlukan penggunaan tisu manusia termasuk kecacatan atau kehilangan tulang akibat kemalangan, trauma, penyakit dan pembedahan serta keperluan pembinaan semula struktur tulang.

“Selain itu, tisu manusia digunakan dalam pembedahan pergigian dan maksilofasial bagi membaiki atau membina semula tisu dalam rongga mulut manakala tisu amnion membantu rawatan serta pemulihan permukaan mata.

“Bagi pesakit yang mengalami kecederaan kulit serius atau kehilangan tisu kulit, penggunaan tisu yang bersesuaian dapat membantu proses penggantian atau pembaikan tisu bergantung kepada penilaian pakar perubatan dan kesesuaian klinikal pesakit,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Suzina berkata, Bank Tisu USM mempunyai kepakaran memproses tiga jenis utama tisu manusia iaitu amnion, tulang dan kulit menggunakan kaedah pengawetan berbeza bagi mengekalkan ciri serta kualitinya.

Katanya, Bank Tisu USM juga satu-satunya bank tisu di Malaysia yang mempunyai kepakaran memproses tisu amnion dan pelbagai jenis tisu (multi-tissue processing).

“Amnion diproses menggunakan tiga kaedah iaitu pengeringan udara (Air Dried), pengawetan gliserol (Glycerol Preserved) dan pengawetan beku menggunakan gliserol (Glycerol Cryopreserved).

“Tisu tulang diawet melalui kaedah pembekuan dalam (Deep Frozen) atau pengeringan beku (Freeze Dried) manakala tisu kulit pula diawet menggunakan kaedah Glycerol Preserved,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kualiti Bank Tisu USM, Dr Muhamad Syahrul Fitri Zawawi berkata, Bank Tisu USM bertanggungjawab terhadap penyediaan dan pembekalan tisu manakala prosedur pemindahan tisu serta rawatan pesakit dilaksanakan pakar perubatan di hospital.

“Prosedur penggunaan tisu manusia dalam rawatan bermula apabila pakar perubatan menilai keadaan pesakit dan mengenal pasti jenis tisu yang diperlukan.

“Pihak hospital atau pakar perubatan kemudian mengemukakan permohonan kepada Bank Tisu USM sebelum tisu yang sudah diproses, diuji serta memenuhi keperluan kualiti dan keselamatan dibekalkan untuk kegunaan klinikal.

“Tisu berkenaan disediakan mengikut kaedah pengendalian yang ditetapkan sebelum digunakan pakar perubatan dalam rawatan atau pembedahan bagi menggantikan, membaiki atau membina semula tisu pesakit yang rosak manakala proses pemulihan dipantau pasukan perubatan di hospital,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Perubatan USM berkata, Bank Tisu USM bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya dalam perolehan tisu daripada penderma yang meninggal dunia.

“Selain membekalkan tisu untuk rawatan, Bank Tisu USM turut menjalankan penyelidikan, inovasi dan latihan termasuk menyumbang kepakaran dalam pengajaran kepada penuntut Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) sejak lebih sedekad lalu serta program berkaitan bioperubatan di universiti.

“Bank Tisu USM juga memperoleh pensijilan ISO 9001 bagi Sistem Pengurusan Kualiti dan MS 1900 (Sistem Pengurusan Kualiti Berteraskan Syariah) bagi menjamin keselamatan dan kualiti tisu mengikut piawaian Malaysia dan antarabangsa,” katanya.

Katanya, pendermaan tisu boleh membabitkan penderma hidup atau individu yang sudah meninggal dunia tertakluk kepada kesesuaian, persetujuan pendermaan serta keperluan perundangan dan prosedur ditetapkan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news