Barcelona: Barcelona mempamerkan kebangkitan menakjubkan apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Villarreal 3-2 pada aksi LaLiga
Baca juga: Lori nyaris rempuh kenderaan berhenti di lampu isyarat sebelum terbalik
Kemenangan itu membolehkan skuad kendalian Hansi Flick terus menguasai takhta liga dengan mengumpul 36 mata, tiga mata mengatasi pencabar terdekat, Real Madrid yang menewaskan Celta Vigo, Sabtu lalu.
Bagaimanapun, Barcelona terlebih dahulu dikejutkan tuan rumah yang memanfaatkan kelemahan benteng pertahanan pelawat untuk meledak dua gol dalam tempoh tujuh minit.
Tajon Buchanan dan Tani Oluwaseyi masing-masing menghukum kelalaian pertahanan Barcelona untuk meletakkan Villarreal selesa mendahului 2-0.
Barcelona berpeluang merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-23 selepas Lamine Yamal dijatuhkan, namun pemain muda itu gagal menyempurnakan peluang apabila sepakannya terkena tiang.
Skuad pelawat akhirnya menemui jaringan pada minit ke-57 menerusi tandukan Gerard Martin yang menyambut hantaran lintang Pedri.
Kebangkitan Barcelona semakin menjadi apabila Fermin Lopez menyamakan kedudukan empat minit kemudian untuk menghidupkan semula peluang mereka memburu kemenangan.
Gol ketiga hadir tidak lama selepas itu apabila pertahanan Villarreal, Pau Navarro tertampan hantaran lintang Yamal ke gawang sendiri, sekali gus memberikan kelebihan 3-2 kepada Barcelona.
Malam malang Navarro bertambah apabila dia dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua pada masa kecederaan.
Keputusan 3-2 kekal sehingga tamat perlawanan untuk Barcelona membawa pulang tiga mata berharga, manakala Villarreal terus menghuni tangga kesembilan dengan 15 mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd