PORTIMAO: Marc Marquez mengukuhkan statusnya sebagai legenda MotoGP apabila merangkul kejuaraan dunia kelas premier buat kali kelapan, sekali gus menyamai rekod Giacomo Agostini selepas menamatkan Grand Prix (GP) Portugal di tempat kelapan, hari ini.
Pelumba Ducati itu memastikan gelaran kedua berturut-turut menjadi miliknya menerusi kebangkitan luar biasa sepanjang musim, meskipun terpaksa berdepan siri kecederaan, kemalangan dan kesukaran pada awal kempen.
Baca juga: Barcelona bangkit benam Villarreal
“Musim lalu adalah untuk saya, tetapi kali ini untuk anda,” katanya.
Marquez yang berusia 33 tahun turut menyamai rekod legenda Itali, Agostini yang meraih lapan gelaran dunia kelas premier antara 1966 hingga 1975, selepas kembali membuktikan kemampuannya meskipun ramai sebelum ini meragui peluangnya.
Kejayaan itu lebih bermakna apabila pelumba Sepanyol berkenaan terpaksa menunggu sehingga perlumbaan kelapan di Hungary pada 7 Jun untuk meraih kemenangan pertama musim ini, selepas mengalami tayar pancit di Thailand, terjatuh di Jerez dan Perancis sebelum mengalami patah kaki yang menyebabkan beliau terlepas GP Catalunya.
Marquez kembali beraksi di Mugello selepas menjalani pembedahan kaki selain pernah menjalani operasi bahu, namun ketika itu beliau ketinggalan 102 mata daripada Marco Bezzecchi sebelum bangkit dengan tujuh kemenangan Grand Prix dan 10 kemenangan perlumbaan sprint sepanjang musim.
“Terima kasih kepada motosikal ini,” katanya.
Bezzecchi menjuarai GP Portugal selepas turut memenangi perlumbaan pecut, manakala Jorge Martin meraih tempat kedua, dengan Marquez mengumpul 439 mata dan tujuh kemenangan GP untuk memastikan gelaran dunia, diikuti Martin dengan 396 mata serta Bezzecchi 394 mata menjelang perlumbaan penutup musim di Valencia, minggu depan. – AFP
The post Marc Marquez samai rekod Agostini, raih gelaran kelapan appeared first on Utusan Malaysia.