KUALA LUMPUR: Pelakon Malaysia, Nandagopall Mohan mencipta sejarah apabila meraih trofi Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang pada Golden Horse Awards Ke-63 di Taipei Music Center, Taiwan, semalam.
Baca juga: Jangan stres, tidur awal dan buat yang terbaik – Pesanan Fadhlina buat calon SPM
Nandagopall mengharumkan negara pada acara anugerah perfileman berprestij Asia itu, selain membuktikan kemampuan bakat tempatan menembusi pengiktirafan antarabangsa.
Melalui naskhah arahan sutradara Taiwan, Tang Hsiang-Chu, Nandagopall menghidupkan watak Ajay, iaitu remaja kurang pendengaran dan tidak boleh bertutur, namun, memiliki minat mendalam terhadap tarian.
Biarpun tidak bergantung kepada dialog, Nandagopall berjaya menyampaikan emosi watak berkenaan menerusi ekspresi wajah, bahasa tubuh dan pergerakan tarian yang memberikan kesan kepada penonton.
Ketika menerima anugerah, Nandagopall merakamkan penghargaan kepada keluarga, pengarah serta seluruh pasukan produksi Sayang Sayang yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk menjayakan watak Ajay.
Nandagopall turut mendedikasikan kemenangan itu kepada individu yang pernah berasa terpinggir, memendam perasaan atau merasakan suara mereka tidak didengari.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang mempercayai dan memberikan peluang kepada saya untuk membawa kisah ini. Saya juga ingin berterima kasih kepada Ajay kerana memilih saya untuk menceritakan kisahnya.
“Saya dedikasikan anugerah ini kepada semua insan yang pernah berasa terpinggir, terpaksa memendam perasaan atau merasakan suara mereka tidak didengari.
“Saya berharap menerusi kisah Ajay, mereka akan menemui suara sendiri, belajar menerima diri dan menghargai siapa diri mereka sebenarnya,” katanya.
Filem terbitan More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co Ltd dengan kerjasama Astro Shaw itu meraih lima pencalonan pada Golden Horse Awards Ke-63.
Selain kategori Pelakon Baharu Terbaik, Sayang Sayang turut dicalonkan bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi Mhia Firdaus, Lakon Layar Asal Terbaik, Kesan Visual Terbaik dan Kesan Bunyi Terbaik.
Mengangkat tema kekeluargaan, kasih sayang dan kepelbagaian budaya masyarakat Malaysia, filem kerjasama produksi Malaysia dan Taiwan itu turut menampilkan barisan pelakon tempatan serta Taiwan.
Antara pelakon yang membintangi filem Sayang Sayang adalah Amir Ahnaf, Khir Rahman, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Jo Kukathas, Sasha Tang, Ong Ai Leng dan Lee Lee-Zen.
Filem Sayang Sayang mula ditayangkan di pawagam Malaysia pada 5 November lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd