Kuala Lumpur : Jenama penjagaan kulit tempatan, Bartech Beautee merancang memperluaskan empayar perniagaannya ke peringkat Asia dengan menyasarkan Singapura, Indonesia dan Brunei sebagai destinasi utama dalam strategi pengembangan pasaran.
Pengasasnya, Nurul Adlinna Mohammad Bakri atau mesra disapa Kak Lin berkata, langkah strategik itu digerakkan susulan kejayaan jenama berkenaan merangkul dua pengiktirafan berprestij tahun ini iaitu Superbrands Malaysia’s Choice 2026 serta Nona Excellence in Pigmentation & Melasma Care Award pada Nona Gala Awards 2026.
Baca juga: Barcelona bangkit benam Villarreal
Menurutnya, pencapaian berkenaan menjadi pemangkin penting dalam membina keyakinan pengguna, selain membuktikan keberkesanan produk keluarannya menangani masalah jeragat dan pigmentasi.
“Anugerah ini bukan sekadar pengiktirafan kepada jenama, tetapi juga satu usaha untuk meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk kami. Pengiktirafan seperti Superbrands bukan mudah diperoleh. Kami pernah mencuba dua tahun lalu, namun tidak berjaya. Alhamdulillah, tahun ini Bartech Beautee akhirnya mendapat pengiktirafan tersebut,” katanya kepada media pada majlis penyampaian anugerah berkenaan, baru-baru ini.
Mengulas prestasi perniagaan, beliau memaklumkan syarikat mencatatkan lonjakan jualan sebanyak 200 peratus berbanding tahun lalu dan sudah berjaya melepasi rekod jualan keseluruhan tahun sebelumnya meskipun 2026 masih belum melabuhkan tirai, selain mengumpul lebih 300,000 testimoni positif setakat bulan ini.
Bagi memperkukuh lagi penawaran kepada pelanggan, Bartech Beautee bakal memperkenalkan rangkaian penjagaan kulit lebih lengkap khusus untuk masalah pigmentasi dan jeragat, selain merancang membangunkan produk kosmetik mesra kulit sensitif menerusi proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara berperingkat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bartech Empire Sdn Bhd, Shaharuddin Abdul Karim berkata, selain sambutan luar biasa terhadap produk terlaris mereka iaitu krim gel pencerah (whitening), syarikat kini memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi laman web Bartech AI.
“Laman web ini sudah mula dilayari pengguna dan setakat ini merekodkan 5,000 data imbasan wajah secara dalam talian. Ia memudahkan orang ramai mengenal pasti kondisi kulit serta menerima cadangan produk bersesuaian tanpa perlu mengeluarkan kos tinggi mendapatkan khidmat penilaian di klinik estetik,” jelasnya.
Tambah Kak Lin, jualan menerusi sistem analisis AI berkenaan turut menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila melonjak tiga kali ganda bulan ini berbanding bulan sebelumnya.
Dalam perkembangan sama, syarikat juga bakal memperkukuh pemasaran digital melalui kerjasama erat bersama platform TikTok, menggalakkan pembelian ulangan menerusi laman web rasmi bagi harga lebih menjimatkan, serta menyasarkan jalinan kerjasama bersama agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) tahun depan.
Menjelang Ramadan dan Aidilfitri akan datang, Bartech Beautee akan menganjurkan kempen ‘Cantik Sebelum Raya’ bagi mengajak pelanggan berkongsi video perubahan kulit mereka, di samping merancang menaja sekurang-kurangnya dua pelanggan bertuah menunaikan ibadah umrah pada Jun tahun depan sebagai tanda penghargaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd