BARCELONA: Barcelona bangkit daripada aksi hambar pada separuh masa pertama untuk menewaskan Villarreal 3-2 dalam aksi La Liga, hari ini.
Baca juga: Juventus belasah Venezia, rai penampilan ke-600 Spalletti
Villarreal pantas mendahului dengan kelebihan dua gol dalam tempoh tujuh minit selepas Tajon Buchanan dan Tani Oluwaseyi mengambil kesempatan daripada kelekaan benteng Barcelona pada awal permainan.
Lamine Yamal memperoleh sepakan penalti pada pertengahan babak pertama, namun sepakannya pada minit ke-23 terkena tiang gol.
Gerard Martin merapatkan jurang menerusi tandukan hasil hantaran lintang Pedri pada minit ke-57 sebelum Fermin Lopez menyamakan kedudukan empat minit kemudian.
Barcelona kemudian melengkapkan kebangkitan dengan gol ketiga tidak lama selepas itu apabila pertahanan Villarreal, Pau Navarro tertampan hantaran lintang Yamal ke gawang sendiri.
Navarro kemudian dilayangkan kad kuning kedua dan diperintahkan keluar padang pada masa kecederaan.
Barcelona kekal di puncak carta liga dengan 36 mata, tiga mata mengatasi Real Madrid selepas pasukan kendalian Jose Mourinho itu menewaskan Celta Vigo.
© New Straits Times Press (M) Bhd