am@hmetro.com.my
Baca juga: Speedy Tigress kembali garang, benam Korea Selatan 3-1
Jeli: Seorang pemandu lori yang positif dadah ditahan selepas dikesan membawa tiga lelaki warga Bangladesh yang memiliki pas lawatan tamat tempoh dalam sekatan jalan raya di Batu 6, Batu Melintang, di sini, malam kelmarin.
Sepasukan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menahan sebuah lori jenis Fuso untuk pemeriksaan kira-kira jam 11.30 malam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Mohd Shamsuri Mohd Zain, berkata siasatan mendapati pemandu berkenaan membawa ketiga-tiga penumpang itu dari Terengganu menuju ke Perak.
“Ujian saringan air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah, selain polis turut merampas sebotol cecair disyaki air ketum yang ditemukan dalam kenderaan berkenaan.
“Ketiga-tiga penumpang mengaku tinggal di Malaysia melebihi tiga tahun dan melakukan pelbagai pekerjaan buruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Shamsuri berkata semua suspek ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 55E/15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau berkata, polis memandang serius sebarang aktiviti membabitkan perlindungan dan penyalahgunaan kenderaan bagi tujuan membawa atau memindahkan warga asing yang melanggar undang-undang imigresen.
“Tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan seumpama ini serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di daerah Jeli sentiasa terpelihara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd