Kuala Lumpur: Seramai 21,477 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) diletakkan dalam keadaan siapsiaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang sudah bermula 27 Oktober lalu dan dijangka berterusan sehingga Mac 2027.
Baca juga: Pemandu lori positif dadah bawa tiga PATI warga Bangladesh
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman merangkap Komander Operasi Bencana di Peringkat Pusat, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, penugasan itu turut diperkukuh dengan 2,465 aset operasi yang digerakkan terutamanya daripada KDNKA bagi memastikan tindakan mobilisasi dan operasi menyelamat dapat dilaksanakan dengan pantas.
Menurutnya, jumlah keseluruhan aset itu merangkumi 1,788 aset darat, 656 aset bot, dan 21 aset udara yang diletakkan dalam keadaan siap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa.
“Fokus utama PDRM pada ketika ini adalah pemantauan rapi secara berterusan di kawasan-kawasan berisiko tinggi di seluruh negara bagi menjamin keselamatan nyawa dan harta benda orang awam,” katanya.
Berdasarkan pemetaan risiko PDRM, pemantauan kritikal itu membabitkan 3,045 kawasan titik panas (hotspot) banjir, 263 kawasan cerun kritikal dan berisiko, serta 31 kawasan hotspot tanah runtuh di seluruh negara.
Daripada jumlah keseluruhan hotspot banjir yang dikenal pasti, Kelantan merekodkan jumlah kawasan berisiko paling tinggi dengan 609 lokasi, diikuti Pahang, Terengganu dan Sabah.
Sementara itu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menggerakkan kesiapsiagaan seramai 5,234 anggota bersama ratusan aset darat dan air bagi menghadapi kemungkinan banjir sepanjang MTL kali ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, jumlah itu membabitkan 314 pegawai dan 4,920 anggota lain-lain pangkat yang bersedia digerakkan bagi melaksanakan operasi menyelamat serta membantu mangsa banjir.
Beliau berkata, sebanyak 589 aset mobiliti darat dan 344 aset mobiliti air turut disediakan bagi memastikan operasi bantuan dapat dilaksanakan dengan segera apabila diperlukan.
“Aset udara juga sentiasa tersedia untuk digerakkan sekiranya keadaan memerlukan.
“ATM sememangnya berada dalam keadaan siap siaga menghadapi monsun kali ini, seperti yang dilakukan setiap tahun,” katanya baru baru ini.
Mohamed Khaled berkata, ATM berpegang kepada prinsip first troop on the scene, iaitu memastikan anggota tentera menjadi antara pasukan terawal tiba di lokasi kejadian banjir.
Katanya, pendekatan itu penting bagi membolehkan bantuan segera disalurkan kepada penduduk terjejas, khususnya di kawasan yang sukar diakses akibat peningkatan paras air.
© New Straits Times Press (M) Bhd