LATEST

25,592 anggota bomba digerak hadapi banjir

25,592 anggota bomba digerak hadapi banjir

am@hmetro.com.my

Baca juga: Sivasangari juara Terbuka China selepas Watanabe tarik diri

Kuala Lumpur: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi merangkumi pengerahan tenaga kerja, pengukuhan aset darat, marin, dan udara bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang dijangka berlarutan sehingga Mac tahun hadapan.

Persiapan komprehensif ini dirangka bagi memastikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta pemindahan mangsa banjir dapat dilaksanakan secara pantas.

Bantuan itu khusus tertumpu di 3,682 lokasi titik panas (hotspot) berisiko banjir di seluruh negara yang dikenal pasti melalui data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, seramai 25,592 pegawai dan anggota bomba di seluruh negara kini bersiap sedia dengan sokongan 1,248 aset pelbagai jenis.

Menurutnya, kekuatan logistik utama JBPM bagi misi MTL kali ini merangkumi 571 kenderaan angkut ringan (seperti kenderaan pacuan empat roda dan utiliti) selain 144 kenderaan angkut berat (termasuk lori pengangkut),

“Kenderaan ini amat sesuai bagi meredah laluan dinaiki banjir serta menghantar bekalan kepada mangsa terjejas.

“Turut diperkukuh ialah jentera ambulans Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) untuk bantuan rawatan awal di lokasi bencana.

“Selain itu bomba diperkuatkan dengan kemudahan 529 aset marin membabitkan bot penyelamat pelbagai saiz yang digerakkan bersama pasukan elit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA),” katanya.

Selain itu, JBPM turut membekalkan 150 bot komuniti kepada penduduk setempat di kawasan berisiko tinggi bagi membolehkan tindakan pemindahan awal dilakukan sementara menunggu ketibaan pasukan penyelamat.

“Bagi operasi tinjauan dan penghantaran bantuan ke kawasan terputus hubungan, pihak bomba turut dilengkapi aset udara membabitkan empat helikopter serta tiga unit dron untuk pemantauan udara secara masa nyata.

“JBPM juga mengaktifkan Pangkalan Operasi Hadapan (Regional Forward Base – RFB) di tiga wilayah utama iaitu di Pulau Pinang (zon utara), Terengganu (zon pantai timur), dan Johor (zon selatan) bertujuan memendekkan masa tindak balas dan memudahkan penyelarasan logistik ke zon terjejas,” katanya.

Difahamkan sebelum ketibaan musim banjir, semua balai bomba di seluruh negara sudah melaksanakan program Hari Pengujian dan Pemeriksaan Operasi Banjir (MTL Log Day) bagi memastikan setiap enjin bot, jentera berat, peralatan menyelamat serta 62 petugas kejuruteraan berada pada tahap kebolehoperasian maksimum tanpa sebarang masalah teknikal.

Sementara itu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menggerakkan 12,927 anggota serta memperkemas aset penyelamat di seluruh negara bagi menghadapi MTL 2026/2027.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Ghazali Abd Rahman berkata, lebih 7,000 anggota sepenuh masa bersedia digerakkan, dan akan dibantu oleh pasukan sukarelawan jika berlaku bencana berskala besar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news