LATEST

Aisy lincah berenang walaupun tidak mampu berjalan

Aisy lincah berenang walaupun tidak mampu berjalan

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Baca juga: Polis, tentera siap siaga hadapi ancaman banjir besar

Kuala Lumpur: Meskipun tidak dapat berjalan dan berstatus orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak lelaki ini mempunyai kelebihan iaitu pandai berenang malah mempunyai lesen menyelam.

Kelebihan itu membuatkan ibu, Siti Jalena Abdul Salam, 39, dan bapanya, Mohamed Al Asraf Shaik Daud, 43, lebih menyedari keistimewaan Aisy Aminuddin, 11, atau Aisy di sebalik kekurangan dapat dilihat pada zahirnya.

Berkongsi kisah itu, bapanya, Al Asraf, 43, dari Kampung Pandan, di sini berkata, Aisy didedahkan dengan aktiviti berenang sejak anak keduanya berumur tujuh tahun.

“Aisy dapat pendedahan dengan menonton video di TikTok dan setiap kali bawa bercuti, dia nampak seronok berenang. “Awalnya takut juga nak lepaskan kerana dalam fikiran saya, kemahiran berenang memerlukan kaki.

“Hakikatnya tidak dan saya jadi yakin apabila melihat kebolehan Aisy berenang dan keberaniannya yang tidak takut air…selain itu, doktor juga sudah menilai kemampuan Aisy dan tidak nampak halangan untuknya berenang juga menyelam.

“Hasil bimbingan jurulatih, Aisy bukan hanya boleh berenang malah pandai menyelam hingga dapat lesen ‘PADI Seal Diver’ pada 15 November tahun lalu di Pulau Perhentian diikuti ‘Junior Open Water Diver’ tanggal 21 Oktober lalu hasil penilaian di Pulau Tioman,” katanya ketika ditemui Harian Metro selepas Program Mini-HRClympic 2026 sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC), dekat sini.

Berhubung perihal keadaan kesihatan Aisy, Al Asraf berkata, anaknya itu tergolong sebagai pesakit Spina Bifida yang agak serius dan dikesan ketika berusia lima bulan dalam kandungan.

“Mulanya ke hospital swasta kemudian doktor dapati ada yang tidak kena pada Aisy.

“Jadi Aisy dirujuk ke hospital kerajaan dan disahkan ada Spina Bifida. Saya dan isteri terima kerana apa pun, Aisy darah daging kami cuma ketika itu, tak banyak informasi boleh dapat seperti sekarang.

“Tapi kami cuba cari maklumat tambahan di laman web. Melihat potensinya dalam menyelam, saya akan berikan sokongan dan mungkin bantu dia mendapatkan latihan menyelam kerana nampak minatnya,” katanya yang bertugas sebagai guru Matematik Tambahan di sebuah sekolah menengah.

Sementara itu, isterinya, Siti Jalena yang juga suri rumah berkata, sebagai ibu, dia berbangga melihat perkembangan Aisy daripada bayi sehingga ada kemampuan menyelam. Selagi bernyawa, Siti Jalena berkata, dia akan memberi sokongan kerana mahu Aisy menyerlahkan potensi yang ada dalam dirinya.

“Saya pernah bekerja sebagai pegawai perolehan namun nekad berhenti selepas melahirkan Aisy bagi memberi tumpuan kepadanya.

“Zahirnya Aisy tidak seperti anak yang lain namun dia ada keberanian dan semangat hingga boleh buat lebih daripada orang normal.

“Salah satunya berenang dan menyelam yang menjadi hobinya. Kalau boleh, saya mahu dia terus melangkah ke hadapan walaupun ada kekangan.

“Ia kerana saya nak buktikan OKU seperti Aisy juga ada keistimewaannya kerana ada individu pernah memberi kata sinis selepas saya melahirkan Aisy. Individu itu persoalkan apa yang saya buat sehingga dapat anak seperti Aisy tapi saya tak ambil pusing sangat dan hanya minta mereka doakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news