Surabaya: Seorang lelaki berdepan hukuman penjara 15 tahun selepas ditahan kerana disyaki mengiklankan tawaran seks bertiga bersama teman wanitanya di media sosial dengan bayaran 600,000 rupiah (RM135).
Baca juga: 25,592 anggota bomba digerak hadapi banjir
Tindakan terbabit sebagai satu cara untuknya mendapatkan wang bagi menebus kembali motosikal milik kekasihnya itu yang dijual pada harga 8 juta rupiah (RM1,800).
Ketua Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-kanak serta Pencegahan Perdagangan Orang, Polis Sidoarjo, Kompol Rohmawati Lailah dilapor Kompas berkata, suspek dikenali FDY, 33, yang berstatus suami orang menjalin hubungan dengan seorang janda anak tiga bernama Mawar, 32, sejak 2024.
Katanya, pada Oktober lalu, FDY menjual motosikal milik Mawar bagi mendapatkan wang untuk kegunaan peribadi dan nekad menebus kembali kenderaan itu dengan menawar hubungan seks bertiga.
Katanya, iklan yang disiarkan di kumpulan Facebook Pasutri Surabaya pada 29 Oktober 2026 menggunakan akaun Wakidi Bin Ponidi antara lain mencari pasangan yang berminat di Kabupaten Sidoarjo, Jawa Timur dan tawaran itu mendapat maklum balas daripada seorang lelaki dikenali P.
“Pertemuan diatur di sebuah hotel di Kecamatan Sedati, Kabupaten Sidoarjo, 2 November lalu selepas mereka bertiga bersetuju untuk melakukan hubungan itu dengan bayaran 600,000 rupiah.
“P bagaimanapun menyerahkan 800,000 rupiah (RM180) kepada FDY yang termasuk kos hotel (200,000 rupiah),” kata Rohmawati.
Susulan itu katanya, FDY ditahan dan polis merampas wang tunai sebanyak 800,000 rupiah, sebuah telefon bimbit, selimut dan cadar katil hotel, kondom terpakai, pakaian dalam mangsa serta resit hotel.
Suspek disiasat mengikut Seksyen 455 dan/atau Seksyen 420 Undang-Undang Nombor 1 Tahun 2023 mengenai Kanun Keseksaan Indonesia (KUHP) yang boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd