LATEST

Biarlah realistik bayaran artis veteran jangan tidak masuk akal

Biarlah realistik bayaran artis veteran jangan tidak masuk akal

SIRI 2

Baca juga: Polis, tentera siap siaga hadapi ancaman banjir besar

syafil.syazwan@hmetro.com.my

LEBIH tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni tanah air, nama primadona layar perak, Datin Sofia Jane tidak pernah pudar daripada ingatan peminat.

Namun, di sebalik populariti serta deretan pengiktirafan berprestij diraih, pelakon versatil ini mengakui masih wujud sisi gelap dalam industri seni tempatan yang langsung tidak berubah sejak dahulu hingga kini.

Bagi Sofia, perubahan paling ketara dalam landskap hiburan global kini sudah tentulah kehadiran media sosial dan kemunculan format drama mikro yang semakin mendominasi tontonan.

Sebagai anak seni yang masih berpegang teguh kepada pendekatan tradisional, Sofia mengakui sukar menghadam karya yang terlalu ringkas kerana baginya, menonton sesebuah naskhah itu ibarat membaca sebuah buku yang perlu dihayati dari muka surat pertama hingga ke titik noktah terakhir.

Namun, di sebalik segala kemajuan teknologi itu, Sofia meluahkan rasa terkilan dan marah apabila isu kebajikan serta kadar bayaran tidak setimpal buat golongan pelakon veteran masih berlarutan tanpa pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, terlalu ramai penggiat seni yang sudah berpuluh-puluh tahun menabur bakti, malah ada yang bertaraf Seniman dan Seniwati Negara, masih dibayar pada kadar yang disifatkannya sebagai tidak masuk akal.

“Kita perlu bersikap realistik. Seseorang pelakon itu tak boleh dibayar pada kadar yang sama seperti dua atau tiga dekad lalu.

“Pihak produksi mahukan nama, wajah dan kehadiran mereka untuk melariskan sesebuah karya, tetapi apabila tiba soal bayaran, nilainya seolah-olah tak setimpal dengan bakat dan pengalaman mereka,” katanya tegas.

Sofia berpendapat, sudah tiba masanya industri kreatif negara mewujudkan satu garis panduan atau kadar bayaran asas yang jelas sebagaimana kerjaya profesional lain seperti doktor, arkitek dan penulis.

Ujarnya, usaha memperjuangkan hak serta martabat profesion lakonan ini memerlukan kesepakatan semua pihak termasuk generasi pelapis agar nasib anak seni tidak terus dipandang sepi.

Selain isu kebajikan dan bayaran, Sofia turut meluruskan salah faham segelintir pihak yang sering melabelkan pelakon senior sepertinya sebagai terlalu memilih atau meletakkan ‘demand’ (permintaan) tinggi.

Tegasnya, tuntutan utamanya bukanlah bersandarkan wang ringgit semata-mata, sebaliknya kualiti penulisan skrip yang bermutu tinggi serta berjiwa.

“Apabila saya menerima sesuatu tawaran, perkara pertama yang saya lihat adalah teks dan siapa yang terbabit di sebalik tabir. Tuntutan saya adalah untuk mendapatkan penulisan yang lebih baik.

“Penonton, pelakon dan penggiat industri semuanya harus menuntut naskhah berkualiti kerana skrip yang lemah hanya akan merugikan semua pihak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sofia turut menegur ketiadaan pemikiran kritis dalam penulisan ulasan filem dan drama masa kini yang semakin jauh berbeza berbanding era terdahulu.

Jika dahulu industri dimeriahkan dengan tulisan bernas daripada pengkritik berilmu seperti Ku Seman Ku Hussain, kini ramai yang menyamakan luahan emosi di media sosial seperti sekadar menyatakan rasa tidak suka sebagai sebuah ulasan filem yang sahih.

Bagi Sofia, ulasan sebenar menuntut ilmu, pengalaman serta kecintaan mendalam terhadap seni dan bukannya ditulis dengan niat menjatuhkan atau menyakiti hati mana-mana pihak, memandangkan kritikan membina amat diperlukan sebagai panduan buat anak seni memperbaiki mutu kerja pada masa hadapan.

ESOK: Bukan sekadar mengejar trofi, Sofia Jane berkarya demi menyentuh jiwa setiap penonton.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news