RUMAH di atas bukit itu dikelilingi rumput hijau yang sentiasa dipangkas rapi bagai bulu kucing parsi. Dindingnya dicat dengan warna putih mutiara yang tidak pernah luntur walaupun disiram hujan lebat monsun timur laut. Di beranda, pokok bunga raya tumbuh subur dengan kelopak merah menyala, menumpahkan bayang-bayang seni di atas lantai marmar yang berkilat.
Baca juga: Kerajaan Selangor salur RM1 juta kepada Tabung Alumni Anak Negeri Selangor di UPM
Di dalam rumah itu, segala-galanya berfungsi dengan baik. Jam dinding berbandul gangsa berdetik sekata dengan denyutan jantung. Lampu-lampu hiasan kristal memantulkan cahaya kuning hangat yang menenangkan mata. Nuar duduk di kerusi malas rotan, mencicip kopi hitam pekat dari cawannya, manakala Hamid berdiri di tepi tingkap kaca, memandang jauh ke luar pagar rumah yang ditanami pokok mangga berbuah lebat. Hari itu tenang, seolah-olah masa telah berhenti di anjung rumah berkenaan.
“Kopi ini sedap,” kata Hamid. Suaranya datar, kering, seperti daun tua kecoklatan yang bergesel di atas jalan tar. Dia tidak menoleh.
“Dibuat daripada biji kopi yang dibeli di pasar minggu,” balas Nuar. Dia meletakkan cawannya di atas meja kopi kayu jati. Bunyi letakan porselin itu bergema kecil di ruang tamu yang luas.
Mereka telah tinggal sebumbung di dalam rumah itu hampir lima tahun. Tiada pertengkaran besar yang berlaku. Tiada hutang yang membebankan. Rumah itu dibina atas tanah pusaka yang luas, dengan siling tinggi yang menyejukkan udara petang dan tingkap-tingkap besar yang menangkap setiap desir angin lembah. Dari luar, sesiapa sahaja yang melintas akan menghentikan langkah, mengagumi keindahan seni binanya yang menggabungkan elemen tradisional nusantara dan moden minimalis.
Namun, dunia berubah dalam tempoh satu detik yang tidak disedari oleh jarum jam.
Hamid memalingkan wajahnya dari tingkap. Matanya merah, bukan kerana mengantuk, tetapi kerana sesuatu yang tajam baharu sahaja merayap masuk ke dalam fikirannya. Dia memandang dinding putih mutiara di sebelah kanannya. Dinding itu licin, tanpa sebarang cacat cela. Namun ironinya Hamid tiba-tiba bersuara.
“Rumah ini hodoh,”
Nuar mengerutkan dahi. Dia tidak segera menjawab. Dia memandang wajah Hamid, mencari tanda-tanda gurauan di sebalik garis-garis penuaan di dahi sahabatnya itu. Tiada senyuman. Tiada kelakar.
“Apa kau cakap?” tanya Nuar perlahan.
“Rumah ini hodoh,” ulang Hamid, kali ini dengan nada yang lebih berat, seolah-olah setiap perkataan itu ditarik dari dasar telaga yang kering, “ia senget. Sudut-sudutnya tidak selari. Pandang siling itu, Nuar. Ia menekan kepala kita macam dalam kubur.”
Nuar terdiam. Dia mahu membantah. Dia mahu memberitahu Hamid tentang cat putih mutiara, tentang lantai marmar, tentang tiang-tiang kayu cengal yang dibeli dengan harga mahal dari pantai timur. Tetapi, apabila Nuar mendongak memandang siling putih itu buat sekian kalinya, sesuatu yang ganjil berlaku di dalam retinanya. Garis pertemuan antara dinding dan siling tidak lagi lurus. Ia melengkung ke bawah, condong kira-kira tiga darjah ke arah barat, seolah-olah seluruh bumbung itu ditarik oleh satu daya graviti ghaib yang tidak pernah mereka sedari sebelum ini.
“Kau betul,” bisik Nuar. Suaranya serak. “Ia senget, dan busuk.”
“Busuk?” tanya Hamid.
“Ya. Bau kayu basah dan kapur mati,” kata Nuar. Dia berdiri. Kakinya terasa berat, seolah-olah lantai marmar itu bertukar menjadi lumpur pekat hitam. “Banyak cacat celanya. Kita telah ditipu oleh mata kita sendiri selama hampir lima tahun ini.”
Ketegangan di ruang tamu itu cair, digantikan oleh satu keghairahan yang menakutkan. Tanpa sepatah kata lagi, Hamid melangkah ke arah dapur. Dia kembali beberapa saat kemudian dengan sebatang tukul besi berat berhulu kuning dan sebuah gerudi elektrik berkuasa tinggi yang dibeli beberapa tahun lalu untuk membaiki pintu pagar. Nuar tidak menghalang. Dia sendiri mengambil pahat besi tajam dari kotak perkakas di bawah tangga.
“Di mana patut kita mula?” tanya Hamid. Nafasnya mula berombak kencang, seperti seorang lelaki yang melihat bayangan musuh di dalam kabus tebal.
“Di sini,” kata Nuar, meletakkan hujung pahat tepat pada bahagian tengah dinding ruang tamu yang dicat putih mutiara itu. “Di sini ada sesuatu yang rongak di sebalik cat ini.”
Ketukan pertama tukul besi mula memecahkan keheningan senja. Bunyinya tajam, memantul di celah-celah dinding kosong. Cat putih mutiara itu berkecai, menampakkan lapisan plaster kelabu di bawahnya.
“Lagi,” jerit Hamid.
Nuar terus menghentak pahat itu dengan sepenuh tenaga. Debu halus berterbangan, memutih di udara seperti kepul awan. Apabila sekeping plaster sebesar tapak tangan jatuh, mereka berdua terkesima. Di sebalik dinding itu, bukan bata merah atau simen kukuh yang biasa, melainkan rongga kosong yang dipenuhi oleh sarang labah-labah yang hitam sebesar ibu jari dan bau kepam hapak yang menusuk rongga hidung, bau bangkai haiwan yang telah lama mereput di dalam gelap.
“Kau nampak?” kata Hamid dengan mata yang membesar. “Rumah ini tidak pernah kukuh. Ia hanya kulit kosong.”
“Tebuk lagi,” balas Nuar, wajahnya berlumuran peluh dan debu putih.
Hamid tidak menunggu. Dia mencucuk mata gerudi elektrik ke dinding sebelah, menekan punatnya kuat-kuat. Bunyi bising mesin itu menggegar seluruh rumah dan bunyi bising itu terdengar di seluruh kampung. Asap nipis berbau plastik terbakar naik dari lubang gerudi. Besi gerudi itu masuk ke dalam dinding dengan terlalu mudah, seolah-olah dinding itu bukan diperbuat daripada bahan binaan, tetapi daripada keju tua yang lembut. Lubang-lubang kecil terbentuk satu demi satu. Dinding itu kini kelihatan seperti sarang tebuan besar yang diserang penyakit. Setiap kali gerudi ditarik keluar, serpihan kayu reput dan tanah liat kering meruap keluar, menimbus lantai marmar yang tadinya berkilat.
“Atap!” Jerit Nuar tiba-tiba, menunjuk ke arah siling tinggi di ruang makan. “Atap itu bergoyang, terhuyung-hayang! Ia hidup dan bernafas!”
Hamid mendongak. Di bawah cahaya lampu kristal yang masih menyala terang, papan siling kayu lapis di atas mereka kelihatan bergerak-gerak, mengembang dan mengecut perlahan-lahan, seperti degupan jantung seekor lembu yang sedang nazak di dalam semak.
Matahari semakin tenggelam di ufuk barat, meninggalkan langit berwarna merah darah celoreng ungu yang menakutkan. Di dalam rumah itu, kegelapan mula merayap masuk melalui lubang-lubang yang telah mereka tebuk sendiri. Rumah yang sebelum ini menjadi kebanggaan sekarang rupa bentuknya menyerupai bangkai kapal yang terkandas di tengah padang pasir. Dinding-dindingnya berlubang besar, mendedahkan kerangka kayu dalaman yang dimakan oleh anai-anai hitam bersaiz ganjil. Tiang-tiang cengal yang diharap menjadi pasak kekuatan telah rapuh di bahagian dalam, meninggalkan rongga kosong yang dipenuhi air keladak yang tidak diketahui dari mana datangnya. Nuar tidak berhenti. Dia memanjat kerusi, memegang gergaji tangan, dan mula memotong bingkai tingkap kayu jati yang mahal itu.
“Nuar, berhenti!” jerit Hamid dari sudut bilik air. Suaranya bergetar hebat.
“Kenapa? Kau takut?” Nuar ketawa. Nyaring dan sumbang. Suara ketawa itu bergema di antara dinding-dinding yang rongak. “Kita mesti lihat apa yang ada di sebalik rumah ini. Kita telah hidup dalam pembohongan selama hampir lima tahun! Rumah ini sudah tidak selamat, Hamid! Kita hanya akan terkubur dalam rumah ini jika terus bertahan di dalamnya!”
“Bukan itu!”
Hamid keluar dari bilik air dengan tangan berlumuran cecair pekat berwarna merah kehitaman. Pahat di tangannya menitiskan cecair yang berbau seperti darah lama.
“Dinding bilik air… dinding itu berdarah!”
Nuar melompat turun dari kerusi, mengabaikan serpihan kayu yang mencucuk tapak kakinya. Dia berlari mendapatkan Hamid. Di dalam bilik air yang tadinya kemas dengan jubin seramik biru laut, dinding utamanya telah pecah akibat pukulan tukul Hamid. Dari celah retakan simen itu, cecair pekat terus meruap keluar, mengalir perlahan menuruni jubin dan bertakung di lubang air lantai.
“Ini bukan air,” bisik Nuar, mencelup hujung jarinya ke dalam cecair itu lalu membawanya ke hidung. “Ini getah pokok… atau darah.”
“Atau mungkin kedua-duanya,” kata Hamid. Wajahnya pucat lesi di bawah cahaya malap lampu bilik air yang berkedip-kedip.
Di luar, angin malam monsun mula mendayu, meniup masuk melalui lubang dinding yang ditebuk, menghasilkan bunyi siulan yang menyerupai tangisan manusia dalam kesakitan. Halaman rumah yang luas dan indah tadi kini kelihatan kelam-kabut; rumput subur hijau kini diselubungi kabus tebal yang naik secara tiba-tiba dari tanah, menenggelamkan pokok bunga di halaman dan pokok-pokok mangga di luar pagar.
Nuar dan Hamid berdiri di tengah-tengah ruang tamu yang kini berantakan. Tukul, gerudi, pahat, dan gergaji berselerakan di atas lantai yang basah oleh air misteri dan serpihan kayu. Tiada lagi ruang tamu yang selesa. Tiada lagi cawan porselin putih. Yang tinggal hanya kerangka rumah yang separuh roboh, mendedahkan mereka kepada angin malam yang semakin membeku di kulit.
“Apa yang tinggal untuk kita, Nuar?” tanya Hamid perlahan, suaranya nyaris tenggelam dalam deruan angin luar.
“Tiada apa-apa,” jawab Nuar, memandang ke arah lubang besar di dinding depan yang memperihalkan kegelapan luar yang pekat. “hanya rumah yang hampir roboh, dan kita…”
Pukul dua pagi. Rumah itu senyap. Keheningan mengitari suasana, seolah-olah struktur bangunan itu sedang mengumpul tenaga untuk runtuh sepenuhnya. Nuar dan Hamid duduk berteleku di atas lantai yang bertaburan serpihan kayu, menyandarkan belakang mereka pada tiang utama yang kini separuh reput. Tangan mereka masih memegang alat perkakas masing-masing. Nuar, dengan pahat tajamnya, Hamid dengan tukul besi berhulu kuning yang kini melekit dengan sisa darah.
Tiba-tiba, dari bahagian bawah lantai marmar di bawah kaki mereka, terdengar bunyi sesuatu yang mengetuk. Bunyi ketukan itu berirama, seolah-olah ada benda di dalam tanah yang sedang berusaha memanjat naik ke permukaan. Nuar menegakkan kepala. Matanya terpaku pada lantai di antara mereka berdua. Jubin marmar putih itu mula retak seribu secara perlahan-lahan, membentuk garis-garis hitam yang bercabang seperti urat saraf di atas kulit pesakit yang sedang diserang demam panas.
“Hamid,” panggil Nuar, suaranya berbisik halus. “Dengar.”
Tok… tok… tok… tok…
Bunyi itu semakin kuat. Bukan sekadar ketukan, tetapi bunyi dengusan berat, nafas kasar yang mendesak dari bawah lantai, membawa bau tanah kubur yang basah dan bau kemarau yang panjang. Hamid mengangkat tukulnya. Tangannya tidak lagi bergetar; ia menjadi keras seperti besi.
“Ada sesuatu di bawah rumah kita, Nuar.”
“Ia bukan di bawah,” jawab Nuar, pantas. Matanya kini memandang ke arah siling yang rongak, di luar awan gelap mula kelihatan berarak melintasi lubang bumbung rumah tanpa sebarang halangan, “ia adalah rumah ini sendiri.”
Sebelum Hamid sempat menjawab, lantai marmar di tengah-tengah ruang tamu merekah dengan bunyi letupan yang memekakkan telinga. Debu putih, serpihan batu, dan wap panas naik ke udara. Dari celah rekahan yang menganga, sepasang tanduk hitam yang besar dan berkilat perlahan-lahan muncul, menolak sisa-sisa lantai ke tepi. Diikuti oleh mata merah yang menyala dalam kegelapan lubang itu. Mata yang memantulkan wajah Nuar dan Hamid yang kelihatan hodoh, senget, dan penuh dengan cacat cela. Nuar mengetatkan pegangannya pada pahat. Hamid mengangkat tukul besinya tinggi-tinggi ke udara. Di luar, ribut petir yang ditunggu-tunggu akhirnya meletus dengan sabitan kilat menyambar tepat ke puncak bumbung rumah itu, memadamkan sisa-sisa cahaya terakhir dan kegelapan pun membaham Hamid dan Nuar. Mutlak.
@ Datuk Jasni Matlani adalah penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2015 dan penerima Anugerah Sasterawan Negeri Sabah Ke-4, 2024.
Nota: Pengarang kreatif dipelawa menghantar cerpen dan puisi ke halaman Sanggar Sastera, Perspektif, BH Ahad melalui e-mel bhsastera@bh.com.my. Sertakan biodata, nombor kad pengenalan, alamat lengkap, nombor telefon, gambar serta nombor akaun bank. Cerpen mestilah antara 1500-2000 patah perkataan dan tiada bayaran untuk karya tanpa maklumat lengkap.
© New Straits Times Press (M) Bhd