LATEST

Kekuatan spiritual tingkat daya tahan pesakit

Kekuatan spiritual tingkat daya tahan pesakit

SHAH ALAM – Kekuatan spiritual memainkan peranan penting dalam membantu pesakit membina daya tahan fizikal dan mental, khususnya ketika berdepan dengan kesakitan serta menjalani proses rawatan penyakit.Ketua Unit Spiritual dan Kesihatan, Hospital Sungai Buloh, Dr Ahmad Fahmi Md Sahray berkata, pendekatan perubatan holistik perlu mengambil kira empat elemen utama iaitu biologi, psikologi, sosial dan spiritual bagi memastikan keperluan pesakit diberikan perhatian secara menyeluruh.”Aspek spiritual bukan sahaja mempengaruhi kesejahteraan mental, malah mempunyai kaitan secara langsung dengan daya tahan atau resilience seseorang ketika menghadapi kesakitan.”Keadaan spiritual seseorang itu tinggi, dia akan memberi ketahanan tinggi kepada kekuatan fizikal dan juga mental. Kalau sekiranya status spiritual itu rendah, maka secara langsung juga fizikal dan mental seseorang itu akan menjadi rendah,” katanya kepada Sinar Harian.Beliau yang juga panelis Konvensyen My#HadithTime 2026 berkata, kajian perubatan mendapati aspek spiritual turut memberikan kesan kepada proses penyembuhan pesakit, terutama dalam membantu mereka meneruskan rawatan.Jelasnya, pesakit kanser yang menjalani kemoterapi tanpa diberikan perhatian terhadap keperluan spiritual berisiko mengalami tekanan spiritual atau spiritual distress sehingga berputus asa dan hilang motivasi untuk meneruskan rawatan.”Sebaliknya, ada pesakit yang melalui penyakit sama iaitu kanser, tetapi diberikan perhatian spiritualnya. Contohnya, agama menjadi kekuatan dalam membina spiritualiti, maka pesakit ini akan melalui rawatan kemoterapi juga dengan motivasi yang sangat tinggi,” katanya.Dalam pada itu, beliau berkata, penghayatan hadis Rasulullah SAW turut membantu seseorang mengurus emosi dan tekanan dengan mengubah perspektif terhadap sesuatu ujian kehidupan berdasarkan panduan agama.Mengambil contoh pengalaman ketika pandemik Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, beliau berkata, penghayatan panduan hadis membantu mengubah perspektif keluarga pesakit yang kehilangan insan tersayang, sekali gus memberikan kekuatan emosi kepada mereka.”Pendekatan itu menunjukkan bagaimana panduan agama boleh membantu seseorang melihat sesuatu ujian daripada perspektif berbeza, sekali gus mempengaruhi cara mereka mengurus emosi ketika berdepan dengan kehilangan.”Hadis Rasulullah SAW turut mengingatkan umat Islam supaya memohon keampunan dan afiat, manakala hadis mengenai hati menjelaskan kepentingan kesejahteraan hati dalam menghadapi kesakitan,” katanya.Menurutnya, hati yang baik membolehkan pesakit menerima keadaan kesihatan mereka dengan lebih tenang walaupun belum sembuh sepenuhnya.Sehubungan itu, beliau berpandangan sokongan spiritual perlu diperkukuh di hospital memandangkan masalah tekanan spiritual dalam kalangan pesakit berlaku secara meluas, namun kurang disedari.Katanya, kira-kira 70 pegawai agama di hospital kerajaan di seluruh negara mempunyai peranan penting dalam memberikan sokongan berkenaan dan wajar digalakkan menghadiri konvensyen tersebut bagi memperkukuh panduan berasaskan hadis serta al-Quran dalam penjagaan pesakit.Konvensyen My#HadithTime 2026 bertemakan ‘Prophetic Wellness: Who Heals You?’ akan berlangsung pada 6 Disember ini di Setia City Convention Centre, Shah Alam, dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang.Konvensyen anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) itu merupakan sebahagian daripada Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2026 dan mengetengahkan Kompas Prophetic Wellness, kupasan hadis berkaitan penjagaan kesihatan, perubatan dan rawatan serta perkongsian bersama ilmuwan al-Quran, hadis dan pakar perubatan.

Latest news