LATEST
National

Simeone cipta sejarah baharu La Liga, atasi rekod Aragones

Simeone cipta sejarah baharu La Liga, atasi rekod Aragones

BARCELONA: Diego Simeone meraikan banyak kemenangan dramatik sepanjang tempoh gemilangnya bersama Atletico Madrid, namun kejayaan 3-0 ke atas Getafe, awal pagi tadi, membawa satu lagi pencapaian besar apabila dia mengatasi rekod Luis Aragones sebagai pengurus dengan kemenangan La Liga terbanyak.

Baca juga: Orang ramai dinasihat waspada akaun palsu KSU Perbendaharaan di Threads

Kemenangan ke-345 Simeone dalam La Liga hadir menerusi perlawanan ke-567 kendaliannya, iaitu 189 perlawanan lebih sedikit berbanding bekas pengendali Atletico itu, Aragones, yang memerlukan 756 perlawanan untuk mencatat 344 kemenangan.

Namun, pengaruh Simeone terhadap Atletico jauh lebih besar daripada sekadar angka.

Pengurus lain mungkin memiliki peratusan kemenangan lebih tinggi dan koleksi trofi lebih banyak, namun Simeone berdiri sendiri dari segi tempoh perkhidmatan, konsistensi dan ketahanan untuk kekal di tahap tertinggi bola sepak Sepanyol.

Lapan trofi yang dimenangi Atletico di bawah kendalian Simeone jauh mengatasi jangkaan penyokong ketika dia mengambil alih pasukan yang sedang bergelut hampir 15 tahun lalu.

Dua kekalahan di final Liga Juara-Juara kekal sebagai luka paling mendalam sepanjang tempoh pemerintahannya.

Kedua-duanya hadir ketika menentang seteru setempat, Real Madrid, dengan satu kekalahan menerusi penentuan sepakan penalti dan satu lagi pada masa tambahan selepas Atletico dibolosi gol penyamaan pada masa kecederaan.

Cara kekalahan itu berlaku mungkin menyebabkan ramai pengurus memilih untuk meninggalkan pasukan.

Namun, Simeone sebaliknya kembali dengan semangat yang tidak pernah luntur.

Dengan berpakaian serba hitam dan tidak henti-henti memberi arahan di tepi padang, dia masih mempamerkan gabungan tenaga luar biasa dan keazaman tinggi seperti ketika mula menyertai Atletico pada 2011.

“Ia menggembirakan saya,” kata Simeone mengenai rekod itu selepas kemenangan ke atas Getafe.

“Saya biasanya tidak mempunyai banyak perkara untuk diraikan, tetapi terdapat usaha kerja yang luar biasa di sebalik pencapaian ini,” katanya lagi.

Apa yang berubah ialah corak permainan pasukan. Skuad kendalian Simeone sudah banyak berkembang setiap tahun, meskipun dia masih berdepan kritikan berulang terhadap pendekatan taktikalnya.

“Kemudian ada pula kritikan berterusan yang kami terima. Saya tidak terlalu mengambil berat mengenainya, tetapi saya tetap memberi perhatian.

“Anggapan bahawa kami sebuah pasukan bertahan, seolah-olah kami hanya bermain untuk bertahan. Anda tidak mungkin memenangi 345 perlawanan hanya dengan bertahan. Adakah itu masuk akal?” kata Simeone kepada saluran televisyen Sepanyol, Movistar.

Di bawah kendalian Simeone, Atletico kini mengukuhkan kedudukan sebagai kuasa ketiga bola sepak Sepanyol, sekali gus mencabar dominasi Real Madrid dan Barcelona.

© New Straits Times Press (M) Bhd

More in National

View all

Latest news