LATEST

Langgar anggota JPJ elak SJR, 3 remaja ditahan

Langgar anggota JPJ elak SJR, 3 remaja ditahan

Zainon Talip

am@hmetro.com.my

Baca juga: Nusantara berisiko jadi ‘bandar hantu’

Miri: Tiga remaja ditahan selepas sebuah Perodua Kancil dinaiki mereka melanggar anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Piasau, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee bin Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, penguat kuasa sedang menjalankan sekatan jalan raya (SJR) sebelum sebuah Perodua Kancil dipercayai dipandu laju dan melawan arus menuju ke arah Jalan Piasau Camp.

Pemandu kenderaan itu dipercayai gagal mematuhi arahan berhenti sebelum melanggar anggota JPJ yang sedang membantu tindakan penguatkuasaan.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan pada mata kanan serta tangan kanan dan menerima rawatan di Hospital Miri. Keadaan anggota terbabit stabil, ” Katanya dalam kenyataan.

Farhan berkata, polis berjaya menahan kenderaan terbabit dan pemandunya berusia 17 tahun itu ditahan bersama dua penumpang, masing-masing lelaki berusia 19 tahun dan perempuan berusia 18 tahun.

“Siasatan awal mendapati pemandu terbabit tidak memiliki lesen memandu dan dipercayai cuba melarikan diri daripada SJR. Perodua Kancil itu turut disita,” katanya memaklumkan ujian saringan air kencing ketiga-tiga suspek negatif dan mereka tiada rekod kesalahan lampau.

Menurutnya lagi, tiga remaja itu direman empat hari hingga 26 November untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news