LATEST
Social Media

Kabinet belum bincang cadangan tempatkan 10,000 Rohingya di Turkiye – Mat Sabu

Kabinet belum bincang cadangan tempatkan 10,000 Rohingya di Turkiye – Mat Sabu

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata Jemaah Menteri belum membincangkan cadangan menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye. Beliau hanya mengetahui tentang rancangan itu melalui laporan akhbar dan mahu menunggu mesyuarat Kabinet akan datang sebelum mengulas lanjut.

Mohamad, yang juga Presiden Amanah, berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian parti itu selepas Konvensyen Nasional Amanah 2026 di Shah Alam.

Baca juga: Tiada pertemuan dengan PM Anwar! Anthony Loke kekal pendirian -“Saya sudah pun letak jawatan!”

“Saya tak ada maklumat rasmi. Hanya melalui akhbar. Saya tak mahu komenlah. Saya nak tunggu dalam mesyuarat kabinet nantilah,” katanya.

Ketika ditanya sama ada cadangan itu pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, beliau menjawab ringkas.

“Tak ada, tak ada lagi.” terangnya.

Pada 20 November, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran media sosial berkata Jemaah Menteri telah meluluskan cadangan menempatkan semula 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye melalui program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan.

Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, turut berkata kerajaan Turkiye telah bersetuju menerima kumpulan pelarian berkenaan. Hantaran itu dipadam kira-kira sejam kemudian tanpa penjelasan pada ketika itu.

Sehari kemudian, Pusat Memerangi Maklumat Palsu (DMM) di bawah Direktorat Komunikasi Presiden Turkiye menyifatkan dakwaan mengenai penempatan semula 10,000 pelarian Rohingya di negara itu sebagai “tidak berasas” menerusi hantaran di X.

Setiausaha Akhbar Zahid, Shuhaimi Mohamed, pula menjelaskan pada 21 November bahawa cadangan itu masih diusahakan. Katanya, beberapa perkara masih memerlukan penjelasan dan penyelarasan dengan pihak berkaitan sebelum pengumuman lanjut dibuat.

Perkhidmatan bahasa Turki Euronews turut membangkitkan persoalan sama ada persetujuan sudah dimuktamadkan, siapa yang akan membiayai program itu, di mana latihan akan dijalankan dan sama ada peserta dibenarkan menetap secara kekal di Turkiye.

Pengumuman Zahid pada 20 November dibuat sehari selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap komuniti Rohingya ketika operasi ketenteraan di utara negeri Rakhine pada 2017.

Mahkamah mengarahkan Myanmar membayar pampasan kepada mangsa dan mengambil langkah bagi mencegah pelanggaran lanjut. Gambia memfailkan kes itu pada 11 November 2019 dengan sokongan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk Malaysia.

Myanmar dilaporkan menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak adil” dan “tidak sebulat suara”. Jurucakap Presiden Myanmar, Khaing Khaing Soe, berkata operasi berkenaan menyasarkan kumpulan pemberontak dan kerajaan akan meneliti penghakiman tersebut.

Sumber: malaysiakini (Hariz Mohd)

More in Social Media

View all

Latest news