PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang merancang menambah bilangan warden di 239 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) bagi memastikan kebajikan dan keselamatan pelajar di asrama terus terpelihara.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Azam Ahmad berkata, perancangan itu sedang dibincangkan di peringkat kementerian dengan mengambil kira keperluan serta cabaran yang dihadapi setiap sekolah.
Baca juga: PN perlu luaskan kerjasama tawan Putrajaya – Ahmad Samsuri
Menurut beliau, kementerian mempunyai kira-kira 10,000 warden bagi 239 SBP ketika ini, namun keperluan penambahan tenaga kerja perlu diteliti berdasarkan keadaan dan lokasi setiap sekolah.
“Penambahan warden bukan sesuatu yang boleh dilaksanakan serta-merta, sebaliknya memerlukan perancangan rapi termasuk dari aspek sumber manusia.
“Perancangan itu memang sudah ada di peringkat KPM untuk memastikan kita ada pertambahan warden. Memang pun kita sudah usahakan. Antaranya, ke arah penambahan warden itu, pertama sekali kita ada MySTEP,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni calon SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 16(1), di sini, hari ini.
Katanya, langkah kedua ialah melalui peningkatan pengambilan guru yang kini mencapai kadar pengisian sehingga 99 peratus berbanding sekitar 54 peratus sebelum ini.
Malah, katanya, terdapat negeri yang mencatatkan kadar pengisian guru sehingga 103 peratus sekali gus memberi ruang kepada kementerian menyusun semula penempatan tenaga pengajar mengikut keperluan sekolah.
Jelasnya, lebihan guru di sesetengah negeri boleh diselaraskan untuk ditempatkan di sekolah yang mempunyai asrama bagi membantu meringankan beban tugas warden.
“Jadi guru yang lebih itu kita letakkan di sekolah-sekolah yang ada asrama supaya guru-guru ini boleh meringankan beban tugas warden,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, peranan guru di sekolah berasrama bukan sekadar tertumpu kepada tugas pengajaran dan pembelajaran, sebaliknya turut membantu memastikan kebajikan pelajar yang tinggal di asrama diberikan perhatian. – UTUSAN
The post KPM rancang tambah warden di 239 sekolah berasrama penuh appeared first on Utusan Malaysia.