GENEVA: Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam merayu supaya keamanan diwujudkan di pusat penularan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo yang meragut hampir 5,700 nyawa.
Baca juga: Simeone cipta sejarah baharu La Liga, atasi rekod Aragones
Beliau berkata, kekerapan serangan di timur negara itu meningkat sejak akhir Oktober, sekali gus menjejaskan secara serius usaha menangani wabak Ebola.
“Pertempuran sengit berterusan sejak semalam di sekitar sebuah hospital di Ituri, di kawasan yang berhampiran dengan lokasi wabak Ebola mula tercetus,” kata Ketua Agensi Kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menerusi platform X.
Beliau berkata, kakitangan perubatan terpaksa berlindung bagi menyelamatkan nyawa di sebuah wad bersalin di fasiliti berkenaan selama lebih 24 jam.
“Keadaan ini menjejaskan operasi hospital serta usaha menangani wabak Ebola secara menyeluruh, sekali gus meletakkan pesakit, ahli keluarga dan petugas kesihatan dalam bahaya besar,” katanya.
Beliau berkata, WHO sedang berusaha mengatur laluan keluar yang selamat untuk pasukan berkenaan serta ‘memastikan fasiliti hospital, kakitangan dan pesakit dilindungi’.
“Ubat yang paling mujarab adalah keamanan,” katanya.
Sejumlah 5,678 kematian direkodkan daripada 11,613 kes yang disahkan sebagai wabak Ebola terburuk pernah melanda negara terbabit.
Virus terbabit merebak ke sebahagian besar wilayah timur dan timur laut Republik Demokratik Congo (DRC) yang dibelenggu keganasan selama lebih 30 tahun.
Dalam kemas kini pada Sabtu lalu, WHO memaklumkan, beberapa kawasan mencatat penurunan kes, namun penularan berterusan pada tahap tinggi masih berlaku.
Ituri dan Nord Kivu kekal sebagai wilayah paling terjejas.
Tambahnya, kadar kematian yang tinggi dalam komuniti, iaitu di luar pusat rawatan khusus, terutama dalam kalangan kanak-kanak kecil terus menjadi cabaran dalam pengesanan awal kes serta akses tepat pada masanya kepada rawatan sewajarnya. – AFP
© New Straits Times Press (M) Bhd