Pelakon dan pengacara, Datuk Afdlin Shauki tampil memohon maaf kepada penyanyi Aina Abdul susulan gurauan yang dibuat ketika mengendalikan Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35), baru-baru ini.
Menerusi hantaran di Threads, Afdlin menjelaskan bahawa jenaka tersebut tidak bertujuan menyindir atau menghina fizikal Aina, sebaliknya merujuk kepada saiz busana yang sering menjadi identiti penampilan penyanyi berkenaan.
Baca juga: Membentuk bakat muda komunikasi yang berdaya saing di era digital
Menurutnya, dia sebenarnya mengagumi perjalanan kerjaya Aina, terutama keberanian penyanyi itu bereksperimen dengan fesyen sehingga berjaya membina imej tersendiri yang mudah dikenali masyarakat.
“Abang memang peminat Aina Abdul. Abang ikuti perjalanan Aina dari jauh, tengok macam mana dia bina nama dan lalui macam-macam untuk sampai ke tahap sekarang.
“Dalam ramai-ramai artis kita, Aina antara yang paling berani bereksperimen dengan fesyen. Dia buat dengan begitu konsisten sampai orang nampak busana dari jauh pun dah tahu, ‘Ha, itu mesti Aina Abdul.’
“Itu namanya branding yang menjadi,” katanya.
Afdlin berkata, keunikan gaya fesyen Aina menjadi sebab dia memilih untuk menyebut nama penyanyi tersebut ketika mengacarakan majlis berkenaan.
Katanya, pendekatan menyelitkan jenaka mengenai rakan artis yang dikagumi bukan perkara baharu kerana dia pernah melakukan perkara sama ketika mengendalikan Anugerah Industri Muzik (AIM) sebelum ini.
Mengulas dakwaan segelintir pihak yang mengaitkan gurauannya dengan penghinaan fizikal atau body shaming, Afdlin menjelaskan bahawa jenaka tersebut sebenarnya merujuk kepada saiz busana Aina dan kesannya terhadap pandangan kamera sekiranya berada di barisan hadapan.
Beliau turut berkongsi pengalamannya menerima komen mengenai bentuk tubuh badan, sekali gus memahami perasaan seseorang apabila penampilan fizikal dijadikan bahan gurauan.
“Punchline malam tu tentang saiz busana dan apa jadi pada pandangan kamera kalau busana segah itu ada di barisan depan.
“Abang sendiri dah lama menerima komen tentang tubuh badan, jadi abang tahu macam mana rasanya bila badan kita dijadikan bahan lawak.
“Abang sebut nama Aina sebab gaya dia cukup kuat sampai orang terus kenal. Keberanian dia itulah yang abang nak tonjolkan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Afdlin mengakui penerimaan masyarakat terhadap sesuatu gurauan kini telah berubah berbanding ketika dia mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan.
Menurutnya, penyebaran petikan pendek daripada sesebuah acara juga boleh menyebabkan sesuatu jenaka ditafsirkan secara berbeza tanpa mengambil kira konteks sebenar.
Sehubungan itu, dia mengambil keputusan untuk memberikan penjelasan secara terbuka selain memohon maaf sekiranya gurauan tersebut menyebabkan Aina berasa kurang selesa.
“Aina, kalau cara abang bergurau malam tu buat Aina rasa tak selesa, abang minta maaf. Abang tak berniat nak menyindir Aina.
“Abang memang big fan, dan insya-Allah kalau ada rezeki, abang teringin sangat nak bekerja dengan Aina suatu hari nanti,” katanya.
Afdlin turut menyatakan bahawa dia menerima teguran yang diberikan orang ramai dan mendoakan perkara baik buat semua pihak, termasuk mereka yang kurang menyenanginya.
Dia juga mengakui dirinya masih mempunyai kekurangan, namun sentiasa berusaha melakukan yang terbaik dalam kerjaya serta kehidupan.
Sumber: Threads Afdlin Shauki