LATEST

Taktikal ‘all-out’ KL City tak menjadi

Taktikal ‘all-out’ KL City tak menjadi

sukan@hmetro.com.my

Baca juga: Polis masih kesan pemandu terbabit kes langgar lari sebabkan penunggang motosikal maut

Kuala Lumpur: Pengendali KL City FC, Datuk Dollah Salleh mengakui pasukannya terpaksa bermain secara ‘all-out’ dengan mengabaikan aspek bertahan pada penghujung perlawanan selepas berdepan insiden kad merah ketika tewas 0-1 kepada Penang FC, semalam.

Menurut Dollah, langkah berisiko itu diambil kerana tiada lagi jalan keluar buat skuad Warga Kota selain memburu gol penyamaan biarpun terpaksa beraksi dengan kurang seorang pemain.

Katanya, beliau mengarahkan anak buahnya melupakan tugasan mengawal benteng di saat genting dan membantu serangan bagi mencari jalan keluar daripada kekalahan.

“Selepas kad merah itu, saya ada katakan kepada pemain supaya tidak perlu fikir mengenai pertahanan lagi kerana kita mahu menjaringkan gol.

“Kalau kita tak dapat jaringkan gol pun kita tetap kehilangan tiga mata kepada Penang FC. Jadi pada minit-minit akhir itu, sudah tiada cara lain dan saya suruh semua pemain naik ke atas, jangan peduli apa yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, pertembungan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur itu menyaksikan jaringan sendiri Adam Nor Azlin di penghujung babak pertama memberikan kemenangan tipis buat pelawat, sekali gus menghadiahkan kekalahan ketiga berturut-turut dalam liga buat KL City FC.

Ketinggalan satu gol, hasrat mereka untuk bangkit kian sukar selepas Paulo Josue dilayangkan kad merah pada minit ke-86 selepas semakan menerusi monitor Video Bantuan Pengadil (VAR) yang dilakukan pengadil, Mohamad Faizudin Ismail mendapati Josue mengasari bahagian muka Tumbas.

Mengulas kekalahan itu, Dollah menyifatkan kegagalan jentera depan memanfaatkan deretan peluang terbuka menjadi faktor utama mereka tunduk kepada lawan sama seperti yang berlaku pada aksi berdepan Melaka FC sebelum ini.

Tegasnya, anak buahnya sudah menunjukkan aksi kemas dan tersusun namun masalah penyudah yang tumpul kembali memakan diri meskipun pelbagai latihan khusus sudah diterapkan.

“Kita boleh cipta banyak peluang tetapi untuk menjaringkan gol itu menjadi punca kita dan selalunya kita mengharapkan Paulo Josue untuk menjaringkan gol, namun hari ini (kelmarin) perkara yang sama tetap berlaku

“Dalam latihan kita sudah buat banyak untuk bahagian serangan dari segi menjaringkan gol. Memang cantik dalam latihan tetapi hari ini tidak tahu kenapa masih lagi ketandusan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news